Usah culas ganti puasa

Elak penangguhan tidak perlu, sebaliknya segera selesaikan kewajipan kepada ALLAH SWT

SAAT terbaik menggantikan puasa bermula bulan Syawal sehingga sebelum bulan Ramadan tahun berikutnya.
SAAT terbaik menggantikan puasa bermula bulan Syawal sehingga sebelum bulan Ramadan tahun berikutnya.
A
A
A

PADA tahun lalu, sekitar bulan Rejab seperti sekarang, rakan penulis menyuarakan keresahannya kerana belum sempat ganti puasa Ramadan.

Ada lebih kurang 20 hari lagi bakinya. Agak banyak jumlahnya kerana beliau sedang berpantang selepas melahirkan bayi ketiganya pada bulan puasa lepas.

Kebimbangan itu memang ada asasnya. Masakan tidak, apabila dicongak, seakan tidak cukup hari untuk beliau mengqadakannya selepas ditolak dengan ‘cuti bulanan’ wajibnya.

“Aku takut tak sempat ganti, tak nak berhutang dengan ALLAH,” luahnya kepada penulis.

Dengan kuasa ALLAH SWT, berjaya juga semua puasa gantinya dihabiskan tiga hari sebelum Ramadan. Barangkali sudah menjadi rezekinya berkat kesungguhannya untuk melunaskan ‘hutang’ berkenaan. Terpancar riak kelegaan pada wajahnya.

Ceritanya itu mencetus ilham kepada penulis untuk mencoretkannya buat renungan bersama. Sementelah, ramai yang kini berjuang untuk mengqadakan puasa sebelum Ramadan menjengah lebih sebulan lagi.

Apa jua cabaran dihadapi, usah sesekali culas dengan kewajipan berkenaan. Apatah lagi ia melibatkan hak seorang hamba kepada Sang Pencipta.

Benarkah culas menunaikan puasa ganti ibarat kita berhutang dengan ALLAH? Berdosakah jika sengaja melewat-lewatkan puasa ganti hingga ke bulan Ramadan berikutnya?

Artikel Berkaitan:

Waktu terbaik qada puasa

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam menemu bual Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Dr Nurzahidah Jaapar.

DR NURZAHIDAH
DR NURZAHIDAH

Sebagaimana kewajiban solat lima waktu, jelas beliau, puasa Ramadan wajib dilunaskan.

Malah, hukum sama turut terpakai bagi semua Muslim mukalaf yang meninggalkan puasa Ramadan disebabkan perkara tertentu dibenarkan oleh syarak seperti keuzuran (al-Marad), sakit kritikal, bermusafir (al-Safar) dan kekurangan (al-Naqsu) antaranya wanita mengandung atau menyusukan bayi.

"Jika seseorang Muslim mengabaikan kewajipan untuk menggantikan puasa hingga tibanya Ramadan berikutnya, tindakan tersebut dianggap sebagai berdosa dan bertanggungjawab membayar fidyah.

"Fidyah dalam konteks ini merujuk kepada kewajipan memberikan makanan kepada golongan fakir selama satu hari, dengan jumlah yang disesuaikan mengikut norma sosial dan budaya masyarakat setempat," katanya baru-baru ini.

Ujar Nurzahidah, waktu terbaik untuk mengqadakan puasa Ramadan adalah secepat mungkin selepas berakhirnya bulan mulia berkenaan.

Menurutnya, jumhur ulama bersetuju bahawa tindakan menggantikan puasa perlu dilakukan sebelum tiba Ramadan seterusnya kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa.

WALAUPUN sudah membayar fidyah, ia bukan bermaksud seseorang sudah terlepas atau gugur daripada menunaikan puasa ganti.
WALAUPUN sudah membayar fidyah, ia bukan bermaksud seseorang sudah terlepas atau gugur daripada menunaikan puasa ganti.

"Justeru, saat terbaik menggantikan puasa bermula bulan Syawal sehingga sebelum bulan Ramadan tahun berikutnya. Dalam konteks Islam, penting memberi keutamaan kepada tindakan pantas dan dengan keazaman terutamanya dalam melaksanakan kewajipan agama.

"Oleh itu, disarankan untuk mengelakkan penangguhan yang tidak perlu dan berusaha segera menyelesaikan tanggungjawab mengganti puasa bagi mengelakkan penimbunan tanggungan yang mungkin sukar untuk dilaksanakan," terangnya.

Bagaimanapun, bukan semua hari kita boleh menunaikan puasa ganti berkenaan.

Ujar Nurzahidah, terdapat waktu yang dilarang untuk berbuat demikian iaitu pada hari syak (hari ke-30 bulan Syaaban) kerana dikhuatiri tibanya Ramadan. Namun puasa gantinya tetap sah dan dibolehkan mengikut pandangan Fatwa Wilayah Persekutuan.

"Namun begitu, bagi golongan yang sudah melazimi berpuasa sunat seperti pada hari Isnin dan Khamis atau amalan Nabi Daud AS iaitu berpuasa selang sehari, ulama berpendapat, ia dibenarkan," katanya.

Selesaikan kewajipan agama

Walaupun tempoh untuk menggantikan puasa itu hampir 11 bulan lamanya, pensyarah tersebut mengingatkan, berdosa hukumnya jika sengaja melewat-lewatkan ganti puasa tanpa keuzuran syarie hingga mengabaikannya.

"Sikap mengabaikan kewajiban menggantikan puasa dengan sengaja merupakan perbuatan yang tidak dianjurkan dalam agama Islam.

ANDAI seseorang Muslim mengabaikan kewajipan untuk menggantikan puasa hingga tibanya Ramadan berikutnya, tindakan tersebut dianggap sebagai berdosa dan bertanggungjawab untuk membayar fidyah.
ANDAI seseorang Muslim mengabaikan kewajipan untuk menggantikan puasa hingga tibanya Ramadan berikutnya, tindakan tersebut dianggap sebagai berdosa dan bertanggungjawab untuk membayar fidyah.

"Malah, ia memberi kesan spiritual kepada jiwa Muslim tersebut," ujarnya.

Sekalipun sudah membayar fidyah, Nurzahidah mengingatkan, ia bukan bermaksud mereka terlepas atau gugur daripada menunaikan puasa ganti.

“Terdapat kelompok yang wajib melunaskan puasa ganti berserta fidyah. Contohnya, individu yang lambat ganti puasa hingga masuk Ramadan tahun berikutnya.

"Mengertilah, setiap Muslim yang sengaja meninggalkan puasa tanpa menggantikannya perlu bertaubat dan mengqadakan puasa tersebut serta wajib membayar fidyah sebagai manifestasi tanggungjawab terhadap kelambatan pelaksanaan ibadah berkenaan," katanya.

Bagi sesiapa yang belum menggantikan puasa ditinggalkan, masih ada kesempatan untuk berbuat demikian.

Lantaran itu, Nurzahidah menyarankan agar golongan tersebut merenung semula niat awal dan kesungguhan diri dalam menunaikan kewajiban tersebut.

Ia penting untuk menyusun jadual yang realistik, bertaubat dengan ikhlas, dan memohon keampunan daripada ALLAH SWT.

"Sentiasalah merujuk para ulama atau pakar yang boleh memberikan pandangan sesuai. Di samping itu, berkongsi tanggungjawab dengan keluarga atau rakan dapat memudahkan lagi pelaksanaannya.

"Ingatlah, setiap Muslim perlu membina komitmen yang kukuh, memanfaatkan peluang yang ada dan mengekalkan sikap positif dalam menyelesaikan kewajipan agama sebagai pelaburan untuk kehidupan akhirat," ungkapnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!