Rejab gerbang persiapan kembara rohani

Beramal bukan kerana istimewanya bulan tersebut, tetapi disebabkan kita adalah hamba ALLAH SWT

REJAB mempunyai 16 nama dan terkenal sebagai bulan kembara rohani Rasulullah SAW.
REJAB mempunyai 16 nama dan terkenal sebagai bulan kembara rohani Rasulullah SAW.
A
A
A

SUDAH seminggu Rejab membuka tirainya. Bulan ketujuh dalam kalendar Islam itu memiliki keutamaannya sendiri. Sesuai dengan maksud namanya iaitu membesarkan atau mengagungkan.

Darjah kemasyhuran Rejab boleh diukur apabila kitab Mawahib al-Jalil menyebut, bulan itu mempunyai 16 nama.

Antaranya al-Ashom (kerana meninggalkan perang padanya), al-Ashob (orang kafir Makkah mengatakan, rahmat diturunkan padanya), Rajm (syaitan direjam padanya), Syahrullah (bulan ALLAH) dan lain-lain.

Apa jua gelarannya, Rejab dianggap sebagai bulan persiapan rohani dan madrasah menuju Ramadan yang bakal menjengah kurang dua bulan lagi.

Mengapakah bulan itu digelar sedemikian rupa? Benarkah tiada amalan khusus sepanjang Rejab?

Persediaan sambut Ramadan

Ketika dilontarkan persoalan itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat menjelaskan, Rejab merupakan bulan tiga serangkai dengan Syaaban dan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

DR MOHD NOR
DR MOHD NOR

Jelas beliau, ia dianggap sebagai pintu gerbang kepada persiapan kembara rohani pada bulan Ramadan kerana sebahagian umat Islam di seluruh dunia mula mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan bulan puasa.

Malah, ada yang menjadikan amalan berpuasa selama tiga purnama berturut-turut hingga tibanya Ramadan.

“Suatu perkara yang tidak boleh disangkal, Rejab terkenal sebagai bulan kembara rohani Rasulullah SAW yang mengikuti perjalanan agung dari kota Makkah ke Masjidil Asqa di Baitulmaqdis dan diangkat ke sisi ALLAH di Sidratulmuntaha.

“Ketika itulah Rasulullah SAW menghadap ALLAH untuk menerima perintah solat yang menjadi teras kepada segala ibadah. Kewajipan itu merupakan ibadah kerohanian secara langsung antara seorang hamba dan Pencipta-NYA,“ katanya kepada Sinar Islam.

Andai mahu disingkap satu persatu, terlalu banyak keistimewaan bulan Rejab. Begitu juga dengan peristiwa penting yang terakam dalam lipatan sejarah.

Salah satu daripadanya, Mohd Nor menjelaskan, bulan itulah turunnya perintah ALLAH SWT supaya kiblat umat Islam berpindah dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram.

Selain itu, Rejab menjadi bulan diharamkan untuk berperang.

“Nama Rejab itu sendiri sebenarnya bermaksud penghormatan atau bulan yang dihormati sejak sekian lama dalam masyarakat Arab. Ia dikekalkan sebagai bulan perdamaian yang dilarang berperang,“ katanya.

REJAB dianggap sebagai pintu gerbang kepada persiapan kembara rohani pada bulan Ramadan kerana sebahagian umat Islam di seluruh dunia mula mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan bulan puasa.
REJAB dianggap sebagai pintu gerbang kepada persiapan kembara rohani pada bulan Ramadan kerana sebahagian umat Islam di seluruh dunia mula mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan bulan puasa.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.“ (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dosa lebih besar

Melihat ungkapan hadis itu, Mohd Nor berkata, jelaslah Rejab termasuk empat bulan suci yang dilarang untuk menumpahkan darah.

“Bahkan, Ibn Abbas RA meriwayatkan, ALLAH mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram dan dianggap bulan suci. Sesiapa yang melakukan maksiat di dalamnya, dosanya akan lebih besar, manakala amal soleh yang dilakukan akan mendapat pahala lebih banyak.

“Seperkara lagi, Rejab merupakan bulan kegemaran Rasulullah SAW, selain Ramadan,“ katanya.

Kepada satu soalan, Mohd Nor menjawab: “Setiap bulan sepanjang tahun mempunyai keistimewaan masing-masing. Sebahagiannya dimuliakan dengan amalan-amalan tertentu seperti puasa dan tarawih pada bulan Ramadan, haji dan korban (Zulhijah), zakat fitrah (Syawal) dan sebagainya. Sementelah, Rejab dan tiga bulan yang dinyatakan tadi dilabelkan sebagai bulan suci yang diharamkan berperang.

“Berbeza dengan bulan Ramadan, ia mempunyai kemuliaannya tersendiri. Dalam hadis disebut tentang limpahan pahala ibadah sebanyak 70 kali lipat, gandaan ibadah sunat sebagai ibadah wajib, bacaan satu huruf al-Quran digandakan 10 pahala dan pelbagai lagi imbalan ibadah sepanjang bulan mulia berkenaan.“

Walaupun tiada amalan khusus disyariatkan pada bulan Rejab selain Rasulullah SAW yang gemar berpuasa lebih banyak, pensyarah itu mengesyorkan agar kita banyak menyucikan diri dengan beristighfar lebih daripada kebiasaan.

UMAT Islam disarankan agar banyak menyucikan diri dengan beristighfar lebih daripada kebiasaan.
UMAT Islam disarankan agar banyak menyucikan diri dengan beristighfar lebih daripada kebiasaan.

“Demikian saranan para ulama, di samping sentiasa banyakkan berdoa agar diberikan keberkatan dalam bulan Rejab, berpuasa sebagai persiapan mental dan fizikal untuk lebih fokus ketika Ramadan nanti.

“Jangan lupa mengamalkan doa ‘Ya ALLAH! Berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kami (bertemu) dengan Ramadan‘,“ titipnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Mohd Nor turut mengingatkan agar kita berhati-hati dengan penyebaran hadis daif dan palsu berkaitan kelebihan amalan-amalan tertentu pada bulan Rejab.

“Bagaimanapun, teruslah berbuat apa sahaja ibadah dan kebaikan yang mampu. Bukan kerana Rejab itu begitu istimewa, tetapi kerana kita ialah hamba ALLAH SWT.

“Bersyukurlah kita masih diberikan kesempatan untuk berada dalam bulan Rejab pada tahun ini. Sama-samalah kita berdoa agar sempat bertemu dengan Ramadan yang memiliki lebih banyak kemuliaan,“ katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!