15 KRT di ibu negara latih belia di iGROW

Suraya (empat dari kiri) dan Nordin (lima dari kiri) bersama-sama masyarakat berbilang kaum yang hadir pada Program Perkampungan Doyan Rukun Tetangga @ iGROW di Kompleks Desa Warisan iGROW di sini baru-baru ini.
Suraya (empat dari kiri) dan Nordin (lima dari kiri) bersama-sama masyarakat berbilang kaum yang hadir pada Program Perkampungan Doyan Rukun Tetangga @ iGROW di Kompleks Desa Warisan iGROW di sini baru-baru ini.
A
A
A

PASIR SALAK - Sebanyak 15 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Kuala Lumpur menjalin kerjasama dengan Institut Agro Usahawan (iGROW) bagi membantu golongan miskin bandar.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kuala Lumpur, Suraya Wen berkata, kerjasama itu membabitkan empat kluster yang menggabungkan Jiran Muda, Jiran Wanita malah turut melibatkan Tunas Jiran.

Menurutnya, idea untuk bekerjasama timbul selepas program Pembangunan Ekonomi Sejahtera Rukun Tetangga (Pesat) dilaksanakan sebagai inisiatif meningkatkan sosio-ekonomi rakyat di peringkat akar umbi melalui Rukun Tetangga.

"Sehingga kini, ada 15 KRT yang telah menjalinkan kerjasama dengan pihak iGROW dan yang ini merupakan kumpulan ketiga.

"Kita mahu peserta terlibat memanfaatkan program seperti ini untuk membolehkan mereka meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Program Perkampungan Doyan Rukun Tetangga @ iGROW di Kompleks Desa Warisan iGROW di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan program tersebut, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Zaiton Latiff.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (i-Grow), Nordin Abdul Malek berkata, kerjasama ini merupakan serampang dua mata yang akan memanfaatkan penduduk di kedua-dua kawasan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, melalui kerjasama yang terjalin itu akan berlaku integrasi ekonomi di antara Kuala Lumpur dan Kampung Gajah.

"Apa yang kita lakukan peserta yang terdiri daripada golongan B40 di bandar ini akan menjalani latihan kemahiran di sini.

"Pada masa sama produk-produk usahawan Kampung Gajah dapat dipasarkan melalui KRT yang terlibat di Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu Nordin berkata, program itu juga sekali gus merancakkan industri pelancongan di Kampung Gajah selain mempromosi pelancongan pendidikan, warisan dan komuniti.

Katanya, bagi program latihan kemahiran, seramai 200 belia Rukun Tetangga yang terpilih mengikuti pelbagai program disediakan di iGROW.

Beliau berkata, kerjasama ini akan terus dijalinkan supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat sewajarnya.