Mirzan hanya ada 24 hari isytihar harta

Mirzan
Mirzan
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan terkenal, Mirzan Mahathir masih belum mengisytiharkan harta miliknya seperti mana yang diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Anak bekas Perdana Menteri itu mempunyai masa sekitar 24 hari sebelum tarikh akhir diberikan oleh SPRM.

Sumber terdekat memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa usahawan berjaya itu telah menerima notis pengisytiharan harta daripada pihak SPRM pada 17 Januari lalu.

"Beliau (Mirzan) telah diberikan notis pengisytiharan harta oleh SPRM pada Rabu minggu lalu.

"Tempoh masa yang diperuntukkan adalah selama 30 hari dari tarikh notis dikemukakan kepadanya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa bahan bukti yang perlu diserahkan melibatkan pengisytiharan aset sejak 42 tahun lalu akan digunakan pihak berkuasa untuk mendakwanya di mahkamah.

Beliau berkata, anaknya (Mirzan) disiasat dan diancam.

Beliau mempersoalkan apakah yang telah Mirzan buat sehingga perlu disiasat oleh SPRM.

Artikel Berkaitan:

"Dia suruh anak saya bagi bukti supaya ayah boleh dicaj. Anak saya kena caj, kena beri bukti.

"Dari tahun 1981 sampai sekarang, sudah tentu dia simpan dalam pejabatnya, dalam bilik yang penuh dengan cek, dokumen.

"Kalau lebih 30 hari boleh kena hukum, masuk penjara lima tahun. Dia kena tanya bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Isnin.