PM tak pernah arah SPRM siasat Tun M - Fahmi

Fahmi Foto Bernama
Fahmi Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan arahan peribadi untuk siasatan dilakukan terhadap mana-mana individu bergelar ‘Tun’ termasuk ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut menafikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan keluarga bekas Perdana Menteri dua kali itu bermotifkan balas dendam.

“Kerajaan Perpaduan tidak mencampuri sebarang siasatan SPRM.

“Semua siasatan berlandaskan undang-undang dan semua ini bukan politik dendam seperti yang didakwa Dr Mahathir,” tegasnya,

Fahmi (depan, tengah) mengadakan sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah di pekarangan Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada Selasa. Foto Bernama
Fahmi (depan, tengah) mengadakan sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah di pekarangan Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada Selasa. Foto Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas dakwaan Dr Mahathir bahawa siasatan SPRM yang dijalankan ke atas keluarganya bermotifkan dendam politik.

Jelas Fahmi, meskipun kerajaan tidak pernah mencampuri urusan SPRM, namun kerajaan berhak meneliti perkara yang melibatkan wang rakyat.

Dalam sidang akhbar pada Isnin, Dr Mahathir mendakwa, tujuan SPRM menyiasat anaknya, Mirzan adalah untuk pengumpulan bukti bagi mendakwanya di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“PM juga sudah banyak kali cakap ‘nothing personal about it’. Jika ada sebarang perkara yang melibatkan harta wang ringgit rakyat, kerajaan ada hak untuk teliti perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut dinasihatkan agar sentiasa muhasabah diri dan tidak mengeluarkan kenyataan yang sengaja boleh menakutkan rakyat.

Fahmi berkata, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga tidak seharusnya mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pilihan raya.

“Tun M pada pilihan raya tahun lepas hilang deposit di Parlimen Langkawi dan Anwar menang di Tambun.

“Jadi sebagai negarawan, beliau harus muhasabah dan harus meninggalkan satu legasi yang murni," ujarnya.