Siasat Mirzan untuk dakwa saya - Tun M

Sidang Media Khas Tun Dr Mahathir Mohamad yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Isnin. Foto SINAR HARIAN-MOHD RAFIQ REDZUAN
Sidang Media Khas Tun Dr Mahathir Mohamad yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Isnin. Foto SINAR HARIAN-MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat anaknya, Mirzan untuk mengumpul bukti dengan tujuan menampakkan beliau bersalah.

Malah Dr Mahathir berkata, bahan bukti yang perlu diserahkan melibatkan pengisytiharan aset sejak 42 tahun lalu, akan digunakan pihak berkuasa untuk mendakwanya di mahkamah.

"Anak saya disiasat, diancam. Apa yang dia (Mirzan) buat? Dia suruh anak saya bagi bukti supaya ayah boleh dicaj. Anak saya kena caj, kena beri bukti.

"Dari tahun 1981 sampai sekarang, sudah tentu dia simpan dalam pejabatnya, dalam bilik yang penuh dengan cek, dokumen.

"Kalau lebih 30 hari boleh kena hukum, masuk penjara lima tahun. Dia kena tanya bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Isnin.

Khamis lalu, SPRM menyerahkan notis perintah kepada Mirzan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendakinya mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih sama ada di dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis diberikan.

Dalam pada itu Dr Mahathir turut mengakui bimbang terhadap siasatan yang dijalankan ekoran dilihat seperti suatu ancaman yang boleh mengaitkannya melakukan kesalahan.

"Saya nak tanya kepada Azam Baki (Pesuruhjaya SPRM), siapa yang buat tuduhan itu dan kenapa tidak bagi tau saya?

Artikel Berkaitan:

"Anwar kata saya curi duit kerajaan, tunjuklah bukti (tetapi) sebaliknya sekarang saya dengar anak saya diminta untuk beri bukti supaya saya boleh didakwa," tegasnya.

Sementara itu ditanya sama ada siasatan berkenaan bermotifkan dendam, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun menyerahkan kepada umum untuk menilai.

"Semasa saya menjadi Perdana Menteri kali pertama, beliau (Anwar) berada dalam penjara dan semasa pimpinan saya kali kedua, beliau dibebaskan.

"Beliau kemudiannya mahu bertanding pada pilihan raya dan ketika itu, saya dan Tun Daim Zainuddin berkempen untuknya, namun kini dia mahu menyiasat saya atas kesalahan salah laku," katanya.