Ubur-ubur berbisa muncul di Terengganu

Ubur-ubur kotak dikenali sebagai salah satu haiwan laut yang berbisa dan berbahaya kepada manusia. Foto Liang Xi Long (pelajar latihan industri RRC)
Ubur-ubur kotak dikenali sebagai salah satu haiwan laut yang berbisa dan berbahaya kepada manusia. Foto Liang Xi Long (pelajar latihan industri RRC)
A
A
A

KUALA NERUS - Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati berikutan penemuan ubur-ubur kotak di pesisiran pantai di Terengganu.

Dua ekor ubur-ubur itu ditemui terdampar di Pantai UMT oleh sukarelawan Pusat Rujukan dan Repositori Laut Cina Selatan (RRC), Wan Azmir Rizal pada Selasa lepas.

Kurator Kanan RRC Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azwarina Mohd Azmi Ramasamy berkata, hasil siasatan mendapati ubur-ubur tersebut merupakan spesies 'Chiropsoides buitendijki' yang berbisa dan jarang diketahui umum.

"Kejadian ini memberi suatu kesedaran betapa pentingnya pemantauan alam sekitar dan pengecaman organisma marin yang berpotensi memberi ancaman kepada komuniti berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook Pusat Rujukan & Repositori Laut Cina Selatan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Azwarina berkata, ubur-ubur kotak itu dikenali sebagai salah satu haiwan laut yang berbisa dan berbahaya kepada manusia.

Menurutnya, ini kerana hidupan laut tersebut mempunyai racun yang kuat sehingga membahayakan kulit manusia.

"Beberapa kes kecederaan manusia telah dilaporkan di luar pantai selatan perairan Malaysia sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Tanda sengat yang ditinggalkan oleh spesies berkenaan sangat berbeza kerana keunikan bentuk nematositnya. Jadi, pengecaman spesies ini adalah penting dalam merawat sengatan ubur-ubur ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Azwarina berkata, spesies itu juga telah direkodkan di perairan Indo-Pasifik terutama di India, Sri Lanka, Thailand serta perairan pantai barat Malaysia khususnya di Pulau Pinang, Perak dan Langkawi, Kedah.

Jelas beliau, kebiasaannya spesies tersebut tinggal di pantai hutan paya bakau dan ekosistem lain yang berhampiran.

Justeru, Azwarina berkata, pihak RRC INOS UMT berharap dengan penemuan spesies yang jarang ditemui itu dapat menjadi satu tarikan untuk peningkatan usaha konservasi dan pendidikan terhadap organisma marin di persekitaran manusia terutama bagi spesies yang berbahaya kepada masyarakat setempat.

Katanya, langkah-langkah pencegahan dan tindakan kesedaran awam perlu ditingkatkan bagi melindungi pengunjung pantai dan kelangsungan ekosistem laut.

"Adalah amat penting bagi pihak berkuasa tempatan untuk segera memberi respons terhadap penemuan ini dengan menyediakan informasi dan tanda peringatan yang jelas di sekitar Pantai UMT dan mana-mana pantai yang terlibat.

"Semua pihak diseru agar dapat sama-sama berganding bahu bekerjasama untuk menjaga keselamatan masyarakat dan persekitaran marin kita," ulasnya.