Teman lelaki didakwa bunuh Bella

Mohammad Haikal Mahfuz, 24, ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu.
Mohammad Haikal Mahfuz, 24, ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Teman lelaki kepada ibu tunggal dua anak, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau lebih dikenali sebagai Bella dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh wanita berkenaaan penghujung Disember lalu.

Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24 yang juga bekas posmen hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh susulan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Haikal didakwa membunuh Mila Sharmila antara jam 11 malam 14 Disember hingga jam 5.30 pagi 15 Disember 2023.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pecah dalam tempoh berkenaan.

Suspek utama kes Bella dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, pada Rabu
Suspek utama kes Bella dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, pada Rabu

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid sementara tertuduh diwakili peguam, Syahril Anuar.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Februari 2024 bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Untuk rekod, ibu tunggal dua anak itu dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu setelah ahli keluarganya gagal menghubunginya sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun ketika keluar ke dobi sambil ditemani teman lelakinya itu dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

Bagaimanapun, kakaknya, Norisham, 36, memaklumkan adiknya itu hilang selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi, namun pelik apabila dompet yang mengandungi pengenalan diri, pakaian yang hendak dibasuh serta kunci rumah ada di kediaman Bella.

Lima suspek termasuk teman lelaki Bella telah ditahan selama tujuh hari mulai 25 Disember 2023 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Selepas 38 hari kehilangan Bella, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Jumaat lalu.

Tiga suspek termasuk teman lelaki Bella ditahan reman sekali lagi bermula 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah pada Selasa akhirnya mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella susulan sampel patalogi rangka tersebut sepadan dengan DNA yang diambil daripada kakak serta ibunya.