Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah terima rasuah

Tibrani (kanan) bersama penjaminnya diiringi anggota SPRM untuk membayar jumlah wang jaminan di Mahkamah Alor Setar pada Rabu.
Tibrani (kanan) bersama penjaminnya diiringi anggota SPRM untuk membayar jumlah wang jaminan di Mahkamah Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang Pembantu Tadbir Pejabat Kesihatan Daerah di Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM5,228.50, lima tahun lalu.

Tertuduh, Tibrani Ahmad, 45, membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan, Tibrani sebagai seorang penjawat awam telah menerima untuk dirinya suatu barang berharga dengan tiada balasan sebagai satu dorongan, iaitu wang sejumlah RM5,228.50 daripada seorang individu, yang mana mengetahui individu itu mempunyai hubungan kerja rasminya pada ketika itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Berhad Cawangan Kulim, No 75 dan 76 Ground Floor, Taman Manggis 3, Kulim pada 10 November 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah kanun yang sama.

Jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Mohamad Fauzee memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM2,000, namun tertuduh memohon agar jumlah jaminan tersebut dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan tersebut.

Kes akan disebut semula pada 26 Februari depan bagi serahan dokumen dan juga lantikan peguam.