Pelajar KPTM Alor Setar terima anugerah Malaysia Book of Records

Pegawai MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh (dua kanan) menyerahkan sijil MBOR: The First Underwater Essay Writing in Malaysia kepada Pelajar Semester Enam Diploma Pengurusan Pejabat KPTM Alor Setar, Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi (dua kiri) sambil disaksikan Pengarah KPTM Alor Setar,Mudzir Mohamad (kiri) di Pusat Akuatik Negeri Kedah, di sini, pada Khamis.
Pegawai MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh (dua kanan) menyerahkan sijil MBOR: The First Underwater Essay Writing in Malaysia kepada Pelajar Semester Enam Diploma Pengurusan Pejabat KPTM Alor Setar, Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi (dua kiri) sambil disaksikan Pengarah KPTM Alor Setar,Mudzir Mohamad (kiri) di Pusat Akuatik Negeri Kedah, di sini, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) melalui penulisan esei pertama di bawah air.

Esei bertajuk 'Kepentingan Pembangunan Personaliti kepada Graduan' itu ditulis dalam sebuah buku khas kalis air pada kedalaman lima meter (m) dengan mengambil masa lebih satu jam 30 minit.

Pelajar Semester Enam Diploma Pengurusan Pejabat KPTM Alor Setar, Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi, 20, berkata, idea melakukan selaman sambil menulis esei itu tercetus apabila dia berhasrat mengharumkan nama KPTM Alor Setar.

Disebabkan itu, menurut penyelam utama, dia bersyukur diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk melaksanakan selaman sambil menulis karangan walaupun berdepan masalah kesejukan.

"Alhamdulillah berjaya tamatkan juga (dalam tempoh) satu jam 34 minit. Karangan yang telah saya buat (tulis) tadi adalah lebih kurang 350 patah perkataan.

"Untuk tadi, kita buat di kedalaman lima meter (m), saya tidak berdepan dengan apa sebarang penyakit kecuali kesejukan,"katanya.

Pelajar Semester Enam Diploma Pengurusan Pejabat KPTM Alor Setar, Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi (tengah) menunjukkan tulisan karangan dalam buku khas yang ditulis di bawah air di Pusat Akuatik Negeri Kedah, di sini, pada Khamis.
Pelajar Semester Enam Diploma Pengurusan Pejabat KPTM Alor Setar, Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi (tengah) menunjukkan tulisan karangan dalam buku khas yang ditulis di bawah air di Pusat Akuatik Negeri Kedah, di sini, pada Khamis.

Ahmad Fudhail berkata sedemikian kepada pemberita selepas program Malaysia Book Of Records: The First Underwater Essay Writing in Malaysia di Pusat Akuatik Negeri Kedah, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, faktor kesejukan dialami sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan mental untuk menulis karangan terbabit,namun ia tidak mematahkan semangatnya.

"Itulah cabaran yang paling ketara pada hari ini," katanya.

Ahmad Fudhail menceritakan, dia tidak berdepan masalah dalam tempoh 20 minit awal, namun kesejukan dirasai mulai ketara apabila berada di bawah air dalam tempoh 35 minit.

"Saya cuba bertahan juga pada waktu itu (dan) saya (sedang menulis) di perenggan yang ketiga (ketika itu) kalau tak silap," katanya.

Menurut beliau lagi, dia bersyukur apabila menerima pengiktirafan MBOR,sekali gus ia diharapkan memberi inspirasi kepada generasi muda lain terutamanya penyelam.

Dalam perkembangan sama, kongsi pemuda itu, pada permulaannya, dia sememangnya merancang untuk mencipta rekod menulis karangan di laut namun hasrat tidak diteruskan berikutan faktor keselamatan dan keadaan cuaca tidak menentu sekitar Kedah.

"Insya-ALLAH, saya akan (merancang) cuba pula untuk buat rekod dunia (selepas ini),"katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fudhail berterima kasih kepada semua pihak termasuklah pensyarah, pusat selam skuba dan jurulatih yang membantu dirinya merealisasikan misi MBOR terbabit.

Sementara itu, Pengarah Projek merangkap Pensyarah Pengurusan Pejabat, Jamilatul Husna Ramli berkata, idea mencipta rekod MBOR dicetuskan sendiri Ahmad Fudhail sebelum cadangan dibawa kepada Pengarah KPTM Alor Setar untuk merealisasikan hasrat itu.

Bagi mendapat pengiktirafan MBOR itu, jelas beliau, Ahmad Fudhail sebagai penyelam utama terlebih dahulu diberikan tajuk karangan yang dicabut secara rawak untuk ditulis dalam buku di bawah air.

Pengarah KPTM Alor Setar, Mudzir Mohamad turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Fudhail atas kejayaan mencapai rekod MBOR terbabit.

Beliau menyifatkan, kejayaan Ahmad Fudhail membuktikan bahawa semangat seseorang itu penting untuk berjaya dalam apa juga bidang diceburi.

"Kami di KPTM Alor Setar sentiasa memberi sokongan kepada pelajar untuk mencabar diri mereka dan membuktikan keupayaan mereka untuk mencipta sesuatu kejayaan," katanya.