Penganggur mengaku tidak bersalah cederakan isteri

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar pada Isnin, selepas mengaku tidak bersalah mencederakan isteri. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar pada Isnin, selepas mengaku tidak bersalah mencederakan isteri. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

MUAR - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya pada minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Joseph Koo Chen Wei, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mencederakan isterinya di Jalan Kim Kee, Taman Temiang Jaya, Muar, pada jam 12.30 malam, 5 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Siti Rohayu Salih, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Hafizah Abdullah.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan lapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Kes disebut semula pada 9 November untuk lantikan peguam dan serahan laporan perubatan.

Pada 5 Oktober lalu, media melaporkan seorang penganggur tergamak menjerut leher dan menutup mulut isterinya hingga tidak sedarkan diri hanya kerana diberikan RM100 dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kim Kee.

Artikel Berkaitan:

Lelaki itu dikatakan berang kerana isterinya tidak memberikan wang seperti yang diminta.