[VIDEO] Elak dicekup imigresen, wanita warga asing nekad terjun bangunan

A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita warga asing sanggup terjun dari tingkat dua sebuah bangunan bagi mengelak dicekup anggota penguat kuasa dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) di sekitar rumah kedai di Seremban 2, di sini, tengah malam tadi.

Pengarah JIMNS, Kennith Tan Ai Kiang berkata, wanita berusia 35 tahun dari Myanmar itu cedera di bahagian kepala dan difahamkan dia berada dalam keadaan mabuk sebelum bertindak sedemikian akibat cemas apabila menyedari serbuan dilakukan pihak penguat kuasa.

Beliau berkata, wanita itu merupakan sebahagian daripada 110 pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi itu kerana melakukan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan, masuk tanpa suatu pas yang sah di bawah Seksyen 6(1) (c) akta sama.

Anggota penguat kuasa imigresen menahan wanita warga asing yang tercedera selepas terjun dari tingkat dua sebuah bangunan bagi mengelak dicekup dalam operasi di sekitar rumah kedai di Seremban 2, tengah malam tadi. Foto Bernama
Anggota penguat kuasa imigresen menahan wanita warga asing yang tercedera selepas terjun dari tingkat dua sebuah bangunan bagi mengelak dicekup dalam operasi di sekitar rumah kedai di Seremban 2, tengah malam tadi. Foto Bernama

"Semasa operasi dijalankan terdapat segelintir warga asing di lokasi tersebut melarikan diri dengan memanjat ke bumbung bangunan tiga tingkat tersebut serta menyorok di dalam siling rumah. Mereka ini akan di bawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk saringan dan siasatan lanjut.

"Kita mendapati dalam sebuah rumah dihuni tujuh hingga lapan warga asing dan setiap unit dibuat sesekat di setiap bilik, antara kesalahan dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan...mereka ini bekerja dalam pelbagai sektor di sekitar sini,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega JIMNS di sini hari ini.

Kennith berkata, seramai 314 anggota digerakkan dalam operasi itu dan telah memeriksa 628 warga asing di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan melibatkan seramai 210 lelaki Bangladesh; 42 lelaki, 13 wanita, seorang kanak-kanak perempuan (Indonesia); 79 lelaki, 26 wanita, empat kanak-kanak perempuan (Myanmar); 206 lelaki Nepal; 26 lelaki India; 13 lelaki Pakistan dan lapan lelaki Sri Lanka.

Artikel Berkaitan:

"Umur paling muda adalah bayi perempuan berusia dua minggu dan lelaki berusia 51 tahun. Hasil siasatan dan risikan hampir dua minggu mendapati pemilik rumah memberi sewa kepada warga asing ini dengan kadar RM600-RM800 bagi sebuah rumah sebulan,” katanya. - Bernama