Saranan rumah pelacuran warga asing tidak wajar, galakkan maksiat - Mufti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Saranan yang dibuat seorang pelakon popular mengenai rumah pelacuran untuk pekerja warga asing di negara ini disifatkan tidak wajar kerana ia seolah-olah menggalakkan perbuatan maksiat di negara ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mewujudkan rumah pelacuran di negara ini adalah bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan.

Menurutnya, pekerja asing perlu dimaklumkan tentang perkara itu dan mereka wajib menghormati Perlembagaan dan undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka untuk mencari rezeki.

"Saya amat terkejut dengan saranan seorang pelakon beragama Islam supaya disediakan rumah pelacuran untuk pekerja asing di negara ini. Saranan sedemikian jelas merupakan satu galakan kepada perbuatan maksiat sedangkan ramai dalam kalangan pekerja asing beragama Islam.

"Malah pekerja bukan beragama Islam sekali pun tidak sepatutnya digalakkan kepada perbuatan yang hina itu. Sesungguhnya tiada agama yang menyukai penganutnya terjerumus ke dalam jurang yang keji dan merosakkan ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Wan Salim berkata, semua umat Islam tahu bahawa zina adalah satu jenayah yang amat jelik kerana boleh mengakibatkan kerosakan besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.

"Disebabkan itu, al-Quran melarang keras perbuatan zina serta menganggapkannya sebagai satu amalan keji (fahisyah) dan jalan paling buruk yang dilalui oleh manusia di dalam kehidupan ini.

"Sepatutnya kita sama-sama saling membantu ke arah kebaikan dan keluhuran budi pekerti. Kita juga sepatutnya mengingatkan pekerja-pekerja asing tentang bahaya jika terlibat dalam perlakuan keji ini serta kesan buruknya ke atas semua pihak," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau lagi, amat sukar bagi pihak berkuasa untuk memastikan orang Islam tidak terlibat dalam kancah maksiat sekiranya saranan pelakon berkenaan direalisasikan.

"Siapapun tidak boleh menjamin bahawa rakyat negara ini, termasuk penganut agama Islam tidak akan menjadi pelanggan rumah pelacuran yang dicadangkan itu. Amat sukar untuk mengawal atau mencegah umat Islam daripada ikut terlibat di dalam kancah maksiat tersebut.

"Saya bersetuju bahawa cadangan ini tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan mengundang lebih banyak masalah kepada Malaysia," katanya.

Sebelum ini, pelakon senior, Datuk Rosyam Nor meluahkan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran di negara ini.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berasakan perkhidmatan itu dapat membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat.

Bimbang dengan situasi yang berkenaan, pelakon itu berharap kewujudan rumah pelacuran setidak-tidaknya dapat menangani peningkatan bilangan kes jenayah melibatkan seksual di Malaysia.