Kedah sasar tujuh juta pelancong

Asmirul (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pelancong antarabangsa di ICQS baru-baru ini.
Asmirul (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pelancong antarabangsa di ICQS baru-baru ini.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kedah menetapkan sasaran kedatangan pelancong seramai tujuh juta ke negeri ini sepanjang sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Exco Pelancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, daripada jumlah itu, seramai empat juta pelancong dijangka berkunjung ke pulau terkenal di negara ini iaitu Langkawi.

Menurutnya, jumlah selebihnya dijangka ke tanah besar walaupun sebelum ini kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang sasaran kedatangan pelancong ke kawasan tersebut.

"Bagaimanapun kita positif yang tanah besar juga mempunyai pelbagai destinasi pelancongan yang berupaya menarik pelancong luar," katanya ketika menyambut pelancong antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kerjasama agensi kerajaan bersama pihak berkaitan pelancongan berupaya merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri melalui penganjuran lebih 20 program bertaraf antarabangsa antaranya Le Tour De Langkawi, Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi dan Festival Layang-Layang Antarabangsa.

Asmirul berkata, pengecualian visa selama setahun bagi pelancong China dan India bermula hari ini juga turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negeri ini.

"Kemungkinan sebilangan besar pelancong dari kedua-dua negara ini akan berkunjung ke Langkawi, namun kita akan bersiap sedia menerima kedatangan mereka di tanah besar," katanya.

Artikel Berkaitan: