Debat pusingan keempat calon Naib Presiden Indonesia sengit

Tiga calon Naib Presiden, (dari kiri) Mahfud MD, Muhaimin Iskandar dan Gibran Rakabuming Raka menghadiri debat Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di Jakarta. Foto AFP
Tiga calon Naib Presiden, (dari kiri) Mahfud MD, Muhaimin Iskandar dan Gibran Rakabuming Raka menghadiri debat Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di Jakarta. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Tiga calon Naib Presiden Indonesia bersemuka buat kali kedua dalam debat di televisyen yang disiarkan secara langsung pada Ahad malam telah menumpukan tema mengenai 'Sumber Daya Alam dan Tenaga'.

Mereka ialah Muhaimin Iskandar, Gibran Rakabuming Raka dan Mahfud MD.

Dalam ucapan pembukaannya, Muhaimin yang berganding dengan calon Presiden Anies Baswedan, antara lain berkata bahawa negara dan pemerintah masih mengabaikan nasib petani serta nelayan.

"Desa harus menjadi titik tumbuh pembangunan.

"Petani, nelayan, penternak, masyarakat adat harus menjadi bahagian utama daripada program dianjurkan kerajaan.

"Reformasi sektor pertanian harus diperbaharui di kalangan petani kita manakala sumber tenaga baharu harus dipertingkatkan dan bukan dikurangkan," kata Muhaimin.

Gibran pula berjanji beliau dan pasangannya, calon Presiden Prabowo Subianto akan meneruskan dasar-dasar dan program Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

“Untuk menjaga kestabilan harga bekalan makanan, akan kita manfaatkan segala agensi kerajaan yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Untuk meningkatkan produktiviti petani, kita akan meneruskan memberi bantuan peralatan yang secukupnya.

“Kita akan galakkan generasi muda menerusi ‘smart farming’.

"Agenda reformasi pertanian akan kita teruskan juga, berkaitan pemilikan dan pemanfaatan tanah yang lebih adil dan saksama,” katanya.

Seorang lagi calon Naib Presiden, Mahfud MD turut mempersoalkan keberkesanan dasar dan program pemerintahan Presiden Jokowi itu.

"Sumber alam kita sangat kaya tapi keterjaminan makanan belum terjaga manakala petani makin sedikit, subsidi baja makin besar.

"Pasti ada yang salah kerana petani dan pertanian makin sedikit tetapi subsidinya setiap tahun naik.

"Sumber laut meningkat tetapi udara tercemar.

"Pelabur masuk, industri berkembang, alam semula jadi rosak tetapi rakyat menderita," katanya.

Debat kali ini adalah yang terakhir bagi calon Naib Presiden Indonesia menjelang pilihan raya pada 14 Februari. - Agensi