Khemah di premis PWM diroboh, tiada perintah pembangunan - DBKL

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi merobohkan struktur sementara di Lot 63, No. 19A, Jalan Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa di sini pada 11 Januari lepas oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah atas kesalahan mendirikan struktur sementara dan berkaitan dengannya tanpa perintah pembangunan.

DBKL dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan tindakan itu selaras dengan Seksyen 19 dan Seksyen 26(1)(b) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).

"Pemantauan awal pada 16 Oktober tahun lepas mendapati di tapak terlibat telah didirikan beberapa struktur khemah untuk majlis perkahwinan selain terdapat dua gegantung iklan yang dipasang di luar pagar tapak yang menyatakan mengenai pelawaan tempahan pakej perkahwinan dan tempahan pelbagai acara di Laman Tinta Wangsa.

"DBKL turut menerima aduan daripada orang awam pada 1 Disember mengenai pembinaan struktur yang disyaki tanpa kebenaran di alamat terbabit dan siasatan susulan di tapak mendapati kerja-kerja pembinaan tandas kekal dan mendirikan dua khemah (Marquee Tent) sedang dijalankan oleh penyewa tapak,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut DBKL, semakan yang telah dijalankan mendapati rumah banglo di situ dan tanah berkenaan merupakan hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) di bawah kawalan Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri (BPH JPM) untuk kegunaan kediaman dan ia disewakan kepada Persatuan Wartawan Melayu (PWM) untuk dijadikan Pejabat Urusan.

Menurut DBKL, PWM ada mengemukakan surat permohonan kepada DBKL menerusi Jabatan Perancangan Bandaraya pada 30 November 2023 bagi menukar status tanah daripada perumahan kepada perdagangan di premis itu.

"Bagaimanapun, Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat 1 (OSC 1) pada 19 Disember 2023 telah memutuskan permohonan ditolak kerana tapak ini dikhaskan sebagai tapak Kediaman 1 (R1) sepertimana yang telah diwartakan dalam Pelan Bandar Raya 2020 (PBRKL2020).

"Selain itu, mesyuarat juga memutuskan sebarang aktiviti berbentuk perniagaan juga tidak dibenarkan kerana menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar. Keputusan ini telah dimaklumkan secara rasmi kepada pemohon menerusi surat bertarikh 21 Dis 2023,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

DBKL memberitahu mesyuarat penyelarasan tindakan penguatkuasaan melibatkan BPH JPM serta Pejabat Ahli Parlimen Setiawangsa telah dijalankan pada 8 Januari lepas.

Pada mesyuarat itu, BPH JPM menyatakan telah memaklumkan kepada penyewa mengenai apa jua aktiviti dan binaan struktur yang hendak didirikan di tapak ini perlulah mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka tiada halangan untuk PBT meneruskan tindakan operasi roboh pada 11 Januari lepas.

"Setelah mengambil segala langkah perlu, tindakan operasi roboh secara bersepadu telah dijalankan pada 11 Januari dengan merobohkan struktur binaan khemah dan tandas separuh siap, manakala segala peralatan lain di bawah khemah telah diserahkan kepada pemilik sebelum operasi dimulakan,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan operasi bersepadu itu turut melibatkan agensi sahabat seperti BPH JPM, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Polis Diraja Malaysia, Air Selangor dan jabatan dalaman DBKL.

DBKL turut menegaskan bahawa beberapa siri tindakan amaran lisan serta notis telah diberikan kepada penyewa tapak sebelum melakukan operasi terbabit.

Sebelum ini, menerusi laporan sebuah akhbar pada 17 Januari, PWM menyelar tindakan DBKL yang menceroboh dan merobohkan khemah marquee dan binaan di kawasan premis PWM pada 11 Januari.

Presiden PWM, Datuk Yazid Othman dilaporkan berkata, tindakan DBKL meroboh khemah dan binaan di dalam kawasan premis persatuan itu tanpa notis adalah melampau dan tidak bertanggungjawab. - Bernama