'Saya dah arah DBKL pantau aktiviti perniagaan di Taman Tasik Titiwangsa'

Dr Zaliha Mustafa. Gambar kecil: Kenyataan yang dimuat naik Zaliha di akaun Facebooknya pada Isnin.
Dr Zaliha Mustafa. Gambar kecil: Kenyataan yang dimuat naik Zaliha di akaun Facebooknya pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 69 daripada 108 penjaja di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa didapati tidak mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan pihak berkuasa tempatan itu untuk membuat pemantauan terhadap kesemua aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

"Hasil bancian yang dilaksanakan DBKL mendapati terdapat seramai 108 penjaja statik, food truck (kendera saji), berbasikal, skuter dan tuk tuk.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 39 penjaja mempunyai lesen perniagaan dikeluarkan DBKL, manakala 69 pula didapati tidak mempunyai lesen perniagaan.

"Saya telah mengarahkan DBKL untuk membuat pemantauan terhadap kesemua aktiviti perniagaan yang sedang berjalan di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat bersama DBKL pada Isnin.

Mesyuarat itu diadakan susulan aduan diterima daripada penduduk di Taman Tasik Titiwangsa yang melahirkan kebimbangan dengan nasib perumahan mereka yang kini dipenuhi dengan penjaja didakwa tidak mempunyai lesen perniagaan di sepanjang Jalan Kuantan, Jalan Temerloh dan Jalan Tembeling sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Selain itu, Zaliha turut berkata, DBKL turut diminta untuk mengawal selia semula kawasan taman di Taman Tasik Titiwangsa dalam tempoh sebulan.

Ujarnya, langkah berkenaan adalah bagi memastikan matlamat asal Taman Tasik Titiwangsa sebagai pusat riadah keluarga dapat dikembalikan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga komited untuk melihat semula dasar-dasar yang berkaitan yang menyentuh isu-isu seperti ini, termasuk keperluan meminda Undang-undang Kecil (UUK) yang berkaitan," katanya dalam kenyataan itu.