KPKT salur peruntukan RM11 juta pembangunan daerah Kuala Kangsar

Kor Ming (dua dari kiri) menyempurnakan perasmian Pasar Awam Sungai Buloh yang siap dinaik taraf sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.
Kor Ming (dua dari kiri) menyempurnakan perasmian Pasar Awam Sungai Buloh yang siap dinaik taraf sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Peruntukan lebih RM11 juta telah disalurkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk kerja-kerja pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di daerah Kuala Kangsar.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan terbesar pernah diterima itu melibatkan 86 projek yang dilaksanakan di kawasan Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Menurutnya, antara projek berskala besar yang dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut termasuklah pembangunan di kampung-kampung baru di Sungai Siput yang melibatkan 23 projek berjumlah RM3.26 juta.

"KPKT juga telah meluluskan RM3.92 juta untuk 16 projek pembangunan yang akan dilaksanakan di bawah Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

"Fokus juga diberikan terhadap pembangunan perumahan menerusi Rumah Madani Rakyat dengan meluluskan RM840,219 bagi 58 projek baik pulih rumah serta RM132,000 lagi untuk dua projek bina baru rumah di kampung-kampung Sungai Siput," katanya.

Kor Ming (kanan) menyantuni rakyat sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.
Kor Ming (kanan) menyantuni rakyat sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Yang Dipertua MPKK, Dr Sakduddin Zamli.

Artikel Berkaitan:

Kor Ming berkata, bagi menangani isu banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan itu, KPKT meluluskan RM1.65 juta untuk tujuh projek menyelenggara kolam tadahan di Taman Muhibbah Jaya, Kampung Muhibbah Rimba Panjang, Taman Lintang Makmur, Persiaran Kledang 8, Rancangan Perumahan Awam (RPA) Salak, Kampung Baru Salak 1 dan Kampung Salak Baru.

Katanya, bersempena dengan perayaan Deepavali, peruntukan sebanyak RM237,000 di bawah Inisiatif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) diluluskan kepada Kuil Hindu Sri Subramanyar Alaya Devasthana Paribalana Saba di Sungai Siput Utara.

"Menerusi program sentuhan kasih ini, kita juga telah menyalurkan RM1 juta untuk penyelenggaraan lampu-lampu diod pemancar cahaya (LED) kepada MPKK," katanya.

Kor Ming (dua dari kanan) ketika meninjau projek pembangunan Rumah Madani Rakyat sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.
Kor Ming (dua dari kanan) ketika meninjau projek pembangunan Rumah Madani Rakyat sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata KPKT akan mengadakan perbincangan segera dengan MPKK bagi mencari jalan penyelesaian membaik pulih Kolam Renang Kuala Kangsar yang mengalami kerosakan sejak ditutup dua tahun lalu.

Jelas beliau, difahamkan kerja baik pulih kolam renang itu memerlukan kos yang tinggi memandangkan kerosakan berlaku agak serius termasuk lantai yang telah pecah.

"KPKT mengesyorkan tiga cadangan kepada MPKK iaitu mengemukakan permohonan peruntukan kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau melaksanakan kerja-kerja baik pulih melalui usahasama dengan syarikat swasta.

"Jika MPKK mengemukakan permohonan kepada KPKT, peruntukan yang dipohon itu harus mencukupi meliputi skop kerja yang diperlukan," katanya.

Kolam renang yang terletak di Bukit Chandan itu dibina pada Oktober 2005 atas cetusan idea Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan tujuan mewujudkan pusat rekreasi sukan renang di Kuala Kangsar.

Sempena program itu, Kor Ming turut mengadakan lawatan kerja ke projek bantuan baik pulih rumah di Kampung Baru Rimba Panjang, projek bina rumah kampung baru di Kampung Baru Simpang Jalong, projek naik taraf gelanggang badminton di Kampung Baru Sungai Buloh dan Pasar Awam Sungai Buloh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!