Jururawat pinjam bank, jual barang kemas angkara scammer

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang jururawat terpaksa membuat pinjaman bank dan menjual barang kemas semata-mata untuk mendapatkan wang bagi menyelesaikan kes selepas didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 50 tahun itu berputih mata apabila ditipu dan kesemua wang berjumlah RM105,000 yang dipindahkan ke beberapa akaun bank lain atas arahan 'pegawai polis' lesap.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa mangsa itu bermula selepas dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada 26 November tahun lalu.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan kes pengubalan wang haram.

"Mangsa kemudian dirujuk (sambungan talian) kepada individu yang kononnya pegawai polis bagi tujuan siasatan.

"Suspek kemudiannya meminta mangsa memindahkan wang ke akaun diberikan bagi tujuan siasatan dan menyelesaikan kes tersebut," katanya.

Yahaya berkata, mangsa terpedaya apabila akur dengan arahan hingga terpaksa membuat pinjaman bank dan menjual barang kemas manakala wangnya diserahkan kepada suspek melalui 10 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank berbeza.

"Selepas wang dipindahkan, mangsa menyedari telah ditipu dan membuat laporan di sebuah balai polis di Jerantut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pesara kerugian lebih RM260,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud.

Yahaya berkata, pada awal Disember tahun lalu, mangsa, lelaki berusia 55 tahun menerima tawaran untuk menyertai skim pelaburan saham patuh syariah yang dijanjikan keuntungan lumayan.

"Mangsa berminat dan menyertai pelaburan itu dengan bayaran permulaan RM500 dan memperolehi keuntungan RM110.

"Mangsa kemudian diminta mendaftar melalui satu portal, hihg-5.cc untuk melihat pergerakan sahamnya," jelasnya.

Beliau berkata, dalam tempoh satu bulan bermula 17 Disember 2023, mangsa diminta membayar cukai dan membuka akaun bagi memperoleh wang keuntungan pelaburan.

"Teruja dengan keuntungan lumayan dijanjikan, mangsa membuat 14 transaksi bayaran kepada lima akaun berbeza sebelum menyedari ditipu sehingga mengalami kerugian RM260,388," katanya.

Justeru katanya, Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"Polis Pahang juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan apa jua dakwaan diterima melalui panggilan daripada individu tidak dikenali.

"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.