Pengarah syarikat rugi RM255,000 angkara 'phone scam'

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian sebanyak RM255,000 setelah terpedaya dengan sindiket phone scam, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu pada mulanya dihubungi oleh seseorang yang memaklumkan bahawa nombor akaunnya terlibat dalam kes jenayah.

Katanya, mangsa juga diminta untuk menyambungkan panggilan kepada seorang pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang memaklumkan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan berprofil tinggi.

“Mangsa kemudiannya diminta memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan untuk pihak polis memulakan siasatan.

“Kerana percaya dengan panggilan tersebut, mangsa kemudiannya telah membuat tujuh transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM255,000 kepada empat akaun bank berbeza seperti yang diarahkan selain diminta memadamkan segala rekod perbualan antara mereka.

“Suspek masih lagi meminta mangsa membuat pembayaran tambahan sebanyak RM30,000 kononnya sebagai wang jaminan mahkamah dan mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu,” katanya.

Belaiu berkata, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat.

Artikel Berkaitan:

Pihak polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan telefon yang mendakwa sebagai kakitangan mana-mana agensi atau pihak berkuasa serta tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat akaun bank kepada pihak lain.

Gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial iaitu CCID Scam Response Center, CCID Infoline, Semak Mule dan juga laman Facebook JSJK PDRM bagi mendapatkan sebarang maklumat berkaitan jenayah komersial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!