Ahli KAUNSEL bantah tindakan pengurusan universiti

Kira-kira 40 ahli Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Selangor terlibat dalam bantahan pada Jumaat.
Kira-kira 40 ahli Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Selangor terlibat dalam bantahan pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 40 ahli Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Selangor (KAUNSEL) mengadakan bantahan terhadap beberapa tindakan pengurusan universiti yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Bantahan diadakan di luar pagar bangunan Universiti Selangor (Unisel) itu antaranya berkait isu pemecatan Presiden KAUNSEL, Mohd Azrin Abd Rahim daripada jawatan pensyarah di universiti berkenaan.

KAUNSEL dalam satu kenyataan mendakwa pihaknya telah mencuba sedaya upaya untuk mengadakan perbincangan melalui meja rundingan dengan pihak universiti, namun menemui jalan buntu sebelum ini.

Malah, KAUNSEL juga mendakwa sudah beberapa kali membawa isu-isu berkaitan kebajikan ahli kepada pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Kementerian Sumber Manusia sebagai orang tengah.

"Namun saranan dikemukakan pegawai JPP terhadap majikan tidak diambil serius oleh pihak pengurusan Unisel," dakwa kesatuan itu dalam kenyataan tersebut pada Jumaat.

Bantahan ini turut dihadiri ahli MTUC diketuai Setiausaha Agungnya, Kamarul Bahrin Mansor (kanan)
Bantahan ini turut dihadiri ahli MTUC diketuai Setiausaha Agungnya, Kamarul Bahrin Mansor (kanan)

Sebelum itu, bantahan di luar pagar bangunan Unisel dengan diawasi sekumpulan anggota Polis Diraja Malaysia itu berlangsung selama hampir sejam dan berakhir kira-kira jam 6.50 petang tadi.

Mengetuai bantahan itu ialah Presiden KAUNSEL, Mohd Azrin Abd Rahim dan ia turut dihadiri ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diketuai Setiausaha Agungnya, Kamarul Bahrin Mansor.

Artikel Berkaitan:

Menurut KAUNSEL lagi, apabila kebajikan staf universiti itu tidak lagi menjadi keutamaan Unisel, kesannya dapat dilihat apabila lebih 200 staf telah meletakkan jawatan sejak tahun 2020.

"Pensyarah mempunyai pengalaman mengajar lebih dari 15 tahun juga telah mendapat tempat di institusi pengajian tinggi yang lain dan bilangan pelajar pula dilihat semakin merudum saban tahun," dakwanya.

Sehubungan itu, KAUNSEL memaklumkan kesatuan itu tidak mempunyai pilihan lain selain mengadakan bantahan sebagai usaha mereka untuk menyampaikan mesej penting itu kepada pihak yang berkenaan.

Bantahan diadakan di luar pagar bangunan Universiti Selangor berakhir kira-kira jam 6.50 petang.
Bantahan diadakan di luar pagar bangunan Universiti Selangor berakhir kira-kira jam 6.50 petang.

Pada Selasa lalu, KAUNSEL dalam kenyataannya turut berharap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan dalam isu pemecatan Mohd Azrin daripada jawatan pensyarah di universiti berkenaan.

Menurut KAUNSEL, ia adalah rentetan gesaan yang dibuat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam sidang media di Subang Jaya, pada Jumaat minggu lalu.

KAUNSEL percaya campur tangan Amirudin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Unisel Sdn Bhd mampu menyelesaikan isu tersebut secara harmoni secepat mungkin.