Wujud tekanan salah laku integriti kakitangan awam di Selangor

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan wujud dakwaan tekanan daripada rakan sekerja dalam jabatan atau agensi di Selangor berhubung salah laku integriti berdasarkan laporan balas diterima daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, maklumat itu diterima selepas kerajaan negeri melaksanakan arahan dalam Pekeliling Bilangan 6 Tahun 2013 yang memerlukan laporan pengurusan integriti diserahkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan ketua jabatan.

Menurut Menteri Besar, maklum balas tersebut melibatkan banyak jabatan yang dirujuk sebelum ini namun tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

“Bagaimanapun daripada soal siasat kebanyakan mereka tertekan dengan kelompok yang sudah mempunyai ekosistem dan jaringan tersendiri.

“Unit Integriti di jabatan atau agensi hendaklah mengemukakan laporan berkaitan pelaksanaannya kepada KSU kementerian, ketua jabatan dan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM setiap empat bulan sekali iaitu sebelum 15 Mei, September dan Januari.

“Maknanya ada tiga kitaran penghantaran laporan dan pelaksanaan di Selangor adalah selaras dengan arahan yang mana laporan perlu dikemukakan kepada SPRM dan disalin kepada Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk dilaporkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) Selangor yang dipengerusikan oleh SUK,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Beliau yang juga ADUN Sungai Tua berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah berhubung peranan Unit Integriti Selangor dalam mengawal gejala rasuah kakitangan awam.

Malah, dalam soalan tambahan, Menteri Besar turut memaklumkan pada 2018 hingga 2022 sebanyak 314 kes rasuah melibatkan kakitangan awam dan mendakwa ia mungkin disebabkan oleh ketidakberanian penjawat awam untuk membuat aduan.

Artikel Berkaitan: