Wajibkan syarikat bekalan air lantik pengguna bebas - Mohd Saiful

Syarikat bekalan air disaran melantik pengguna bebas untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam isu air. Foto Bernama
Syarikat bekalan air disaran melantik pengguna bebas untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam isu air. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) disaran mewajibkan semua syarikat bekalan air melantik pengguna bebas untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam isu air.

Setiausaha Kehormat, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna Pahang, Mohd Saiful Abdullah berkata, SPAN juga perlu menggunakan kuasa di bawah Akta 655 untuk mengambil alih pengurusan syarikat-syarikat bekalan air yang terus gagal meningkatkan prestasi seperti dikehendaki.

Menurutnya, cadangan itu dibuat memandangkan prestasi syarikat bekalan air dikatakan semakin lemah dan memerlukan tindakan tegas daripada SPAN.

"Laporan (mendakwa) bahawa syarikat bekalan air diperalatkan untuk kepentingan lain seperti memberi sumbangan kepada kempen-kempen bukan aktiviti 'core' yang terus menjadi amalan.

“Keadaan ini menyebabkan syarikat bekalan air ini menanggung tunggakan hutang elektrik sehingga RM1 bilion, selain lewat melaksanakan kontrak pemulihan, defisit bayaran operasi sambil terus mengulangi alasan kadar NRW yang tinggi seperti paip lama, kadar tarif rendah dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menyarankan syarikat bekalan air yang mencapai kadar air tanpa hasil (NRW) sehingga 70 peratus menubuhkan pasukan bagi mengesan pembaziran akibat kebocoran paip.

Katanya, sebagai satu entiti bermatlamat berdaya maju seharusnya mempunyai mekanisme pengurusan risiko kerugian dengan mengadakan pasukan mengesan kebocoran paip air.

Mohd Saiful turut mempersoalkan mengapa pihak syarikat bekalan air mengambil tempoh masa yang lama untuk bertindak ke atas aduan awam mengenai kebocoran paip air.

Artikel Berkaitan:

"Kelewatan dan kegagalan untuk bertindak ke atas kebocoran paip-paip air mewujudkan ketidakyakinan orang awam.

"Laporan daripada orang awam mengurangkan tugasan pasukan mengesan kebocoran paip air dan harus menjadi keutamaan menguruskan aduan awam dalam pengurusan risiko," katanya.

Selain itu, Mohd Saiful memberitahu syarikat bekalan air masih tidak mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.

"Semua jawapan (diberikan) kerajaan negeri tentang masalah bekalan air adalah 'akan diselesaikan pada 2025 atau 2026 atau 2027.

"Ini menunjukkan semua masalah bekalan air menantikan pembiayaan modal berbilion ringgit kerajaan Persekutuan," katanya.