Gaji DJ radio kalahkan CEO kerana bakat, suara

Kerjaya sebagai penyampai radio memerlukan suara dan bakat untuk menarik perhatian orang ramai agar mereka kekal mendengarkan segmen yang sedang diudarakan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zuhaina)
Kerjaya sebagai penyampai radio memerlukan suara dan bakat untuk menarik perhatian orang ramai agar mereka kekal mendengarkan segmen yang sedang diudarakan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zuhaina)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjaya sebagai penyampai radio memerlukan suara dan bakat untuk menarik perhatian orang ramai agar mereka kekal mendengarkan segmen yang sedang diudarakan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dr Zuhaina Mustapa berkata, beliau tidak menafikan pekerjaan itu mampu menerima bayaran mencecah ratusan ribu ringgit.

“DJ radio dikategorikan sebagai pekerja berkemahiran khas dan merupakan 'pekerja utama' (anchor job) dalam sesebuah stesen radio.

“Disebabkan suara dan bakat mereka yang menyebabkan sesuatu stesen radio itu menjadi pilihan pendengar seterusnya memberi impak kepada imej dan keuntungan syarikat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi mendedahkan angka yang diterima oleh penyampai radio swasta boleh mencecah RM150,000.

Beliau turut berkongsi bahawa kebanyakan penyampai radio menerima bayaran sekitar RM5,000 sehingga RM40,000 dan mereka yang bekerja di stesen radio kerajaan menerima gaji paling rendah.

Menurut Zuhaina, perbezaan pemberian gaji bagi kedua-dua sektor itu kerana stesen radio swasta merupakan satu entiti perniagaan dalam industri hiburan berorientasikan keuntungan.

Jelasnya, syarikat boleh menawarkan gaji kompetitif untuk bersaing dalam industri bagi mendapatkan calon penyampai radio terbaik dan berbakat besar mahupun mempunyai nama besar.

Artikel Berkaitan:

“Sedangkan objektif stesen radio kerajaan adalah bermatlamat sebagai saluran komunikasi dan menyebar maklumat dan berita kepada pendengar (rakyat).

“DJ radio kerajaan adalah penjawat awam tertakluk kepada syarat perkhidmatan dan tangga gaji yang telah disediakan,” ujarnya.

Mengulas mengenai penamatan kontrak secara tiba-tiba, Zuhaina berkata, tindakan berkenaan seolah-olah satu bentuk penganiayaan.

Ujar beliau, untuk mengelakkan hal tersebut berlaku, pekerja perlu menyemak klausa dalam surat tawaran kerja berkaitan tempoh dan notis pemberhentian atau penamatan kontrak.

Menurutnya, jika dalam klausa menjelaskan bahawa pemberhentian atau penamatan kontrak boleh dilakukan secara serta-merta maka syarikat berhak bertindak sedemikian.

“Klausa ini juga memberi impak sama kepada pekerja. Sekiranya pekerja (penyampai radio) mendapat tawaran kerja yang lebih baik dan ingin berhenti, maka mereka juga boleh memberi notis serta-merta.

“Jika klausa mengatakan penamatan kontrak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak dengan memberi notis dalam tempoh tertentu, maka syarikat atau pekerja wajib memberi notis mengikut tempoh ditetapkan.

“Sekiranya gagal, majikan atau pekerja mesti membayar sejumlah pampasan yang bersamaan dengan jumlah bulan gaji mengikut notis ditetapkan,” kata Zuhaina.

Jelas beliau, langkah pemberhentian penyampai radio serta merta telah menjejaskan imej syarikat dan juga pekerja.

Katanya, organisasi baik merupakan majikan yang menjaga hubungan komunikasi dengan pekerja dan saling menghormati serta menjaga kepentingan kedua-dua pihak.