Badan Peguam Malaysia pamer solidariti rakan sejawat di Palestin

Bulan Sabit Merah Palestin menganggarkan kira-kira 180 kelahiran dicatatkan dalam tempoh sehari di Gaza dan nasib ibu-ibu berkenaan amat menyedihkan serta nyawa mereka diancam 'bahaya' akibat serangan berterusan tentera Israel. Foto AFP. Gambar kecil: Karen Cheah
Bulan Sabit Merah Palestin menganggarkan kira-kira 180 kelahiran dicatatkan dalam tempoh sehari di Gaza dan nasib ibu-ibu berkenaan amat menyedihkan serta nyawa mereka diancam 'bahaya' akibat serangan berterusan tentera Israel. Foto AFP. Gambar kecil: Karen Cheah
A
A
A

PUTRAJAYA - Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn hari mengisytiharkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Badan Peguam Palestin sebagai simbol solidariti kepada rakan sejawat mereka.

Di tengah-tengah cabaran getir dihadapi warga Palestin akibat tindakan ganas ketenteraan oleh Israel, Badan Peguam Palestin telah meminta sokongan daripada rakan sejawat mereka di Malaysia untuk menjalinkan kerjasama penting semasa saat-saat mencabar ini.

"Badan Peguam Malaysia mengumumkan kami berganding bahu dengan saudara kami dalam bidang undang-undang di Palestin untuk mengutuk kekejaman genosid dan jenayah perang yang dilakukan Israel di Gaza.

"Kami menyokong sepenuhnya prosiding perundangan yang dimulakan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya dalam ucapan di Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Karen Cheah berkata, Badan Peguam Malaysia sedia menghulurkan bantuan kepada prosiding ICJ, dengan cara intervensi jika perlu, supaya tidak ada negara boleh menggunakan genosid sebagai alasan bagi mempertahankan diri untuk melakukan jenayah perang.

Sementara itu, beliau juga berkata, bahawa dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-77 Badan Peguam Malaysia pada 18 Mac 2023, badan itu telah meluluskan satu resolusi berhubung gaji hakim-hakim dan penubuhan sebuah Suruhanjaya Gaji Hakim.

"Menyedari bahawa tiada semakan terhadap gaji hakim-hakim sejak 2015, kami berpandangan keadaan semasa tidak dapat diterima. Sebagaimana Prinsip Komanwel (Dewan Latimer) terhadap Tiga Cawangan Kerajaan, memberikan ganjaran yang sewajarnya kepada hakim-hakim adalah satu komponen penting bagi kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Karen Cheah berkata, sebuah suruhanjaya bebas untuk menilai ganjaran kepada badan kehakiman secara berkala merupakan pendekatan yang nampaknya dapat merealisasikan matlamat yang diinginkan iaitu kebebasan, keobjektifan, ketelusan dan ketekalan.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada hakim-hakim, mereka yang bercita-cita untuk memainkan peranan dalam badan kehakiman dan yang paling utama ialah orang awam. Pada April 2023 Badan Peguam Malaysia menyerahkan salinan resolusi itu kepada Jabatan Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Perdana Menteri dan pemimpin pembangkang.

Badan Peguam Malaysia akan terus memacu isu ini dalam 2024. Menarik minat bakat ke dalam badan kehakiman, mengekalkan bakat dalam badan kehakiman sambil memelihara kebebasan badan kehakiman, merupakan tanda aras yang ingin kami capai,” katanya. - Bernama