12 pelajar Palestin hadapi masalah kewangan kritikal dibantu

Nor Azreen (kiri) dan Shahid (tiga dari kiri) bergambar bersama penaja serta penerima misi bantuan pelajar Palestin di Malaysia baru-baru ini.
Nor Azreen (kiri) dan Shahid (tiga dari kiri) bergambar bersama penaja serta penerima misi bantuan pelajar Palestin di Malaysia baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Misi Bantuan untuk Pelajar Palestin di Malaysia berjaya mengumpul dana RM72,000 untuk disalurkan kepada 12 pelajar yang berdepan masalah kewangan kritikal.

Projek kemanusiaan itu digerakkan oleh Persatuan Alumni Keluarga SSEAYP Malaysia (SFAM) dengan kerjasama Yayasan Kasih Tauhid dan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Penasıhat SFAM, Datuk Shahid Ismail berkata, gerakan tersebut menumpukan bantuan kepada pelajar Palestin yang menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan pengajian selain terputus hubungan dengan keluarga di Gaza.

"Misi bantuan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada para penaja yang membantu. Terima kasih dan kami amat menghargai bantuan yang diberikan, " katanya menerusi majlis penyampaian sumbangan yang diadakan baru-baru ini.

Pada peringkat permulaan, 12 pelajar terpilih menerima bantuan berkenaan berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kesatuan Pelajar Palestin di Malaysia diwakili oleh Dr Taufik Yusuf Zaid serta Kedutaan Palestin.

Sebanyak lima syarikat tempatan tampil menjadi penaja terdiri Galeri Tropika Sdn Bhd, GEO Hotel and Resort, Mercu Food Sdn Bhd, Empire Marketing Sdn Bhd dan T.M.J Development Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengerusi SFAM, Nor Azreen Jamaluddin berkata, pelajar terbabit akan menerima bantuan bulanan RM1,000 untuk tempoh enam bulan.

"Misi ini berjaya dilaksanakan dalam tempoh satu minggu. Ia merupakan situasi kecemasan yang perlu dibantu segera.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap usaha ini dapat membantu mereka sementara menunggu bantuan lain tiba. Hanya ini yang mampu kami lakukan untuk meringankan bebanan mereka,” katanya.

Dianggarkan terdapat lebih 800 pelajar Palestin mengikuti pengajian di institusi pengajian awam dan swasta di Malaysia.