Projek tebatan banjir Sungai Kedah dijangka siap September ini

Saifuddin (tengah) mendengar taklimat di tapak projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit, di sini pada Isnin.
Saifuddin (tengah) mendengar taklimat di tapak projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit, di sini pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Sungai Anak Bukit yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di bandar raya Alor Setar dan Jitra dijangka siap sepenuhnya pada September depan.

Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, tarikh jangka siap projek dianjak sedikit disebabkan beberapa perkara termasuklah proses lanjutan tempoh masa (EOT).

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan tahap kemajuan projek RTB masih lagi dalam julat yang munasabah dan mencapai tahap 78.13 peratus.

"Kita hendak sediakan aliran baharu untuk mengatasi masalah limpahan berpunca dari tiga sungai utama iaitu Sungai Baru, Sungai Tanjung Pauh dan Sungai Anak Bukit yang melalui kawasan penduduk, taman perumahan, kampung dan industri.

"Kemajuan semasa fizikal projek adalah 78.13 peratus dengan baki kerja utama yang masih dalam perlaksanaan melibatkan pembinaan dua jambatan iaitu Jalan Alor Setar-Kangar dan Jalan Gunung Keriang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke tapak projek RTB Sungai Kedah/Sungai Anak Bukit, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan yakin projek RTB akan mengatasi masalah bencana banjir di bandar raya Alor Setar dan Jitra yang memberi impak kepada 63,000 penduduk di sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Saifuddin, projek ini turut dijangka mampu memelihara 9,000 hektar kawasan sawah padi di sepanjang laluan Jitra ke Alor Setar daripada ditenggelami banjir sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Beliau memberitahu, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan perlaksanaan projek-projek kerajaan untuk memastikan impak yang maksimum kepada rakyat Kedah.

Sehubungan itu, menurut Saifuddin pemantauan yang komprehensif dan berterusan merupakan kunci utama kepada pembangunan seimbang seperti mana dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Gagasan berteraskan konsep Malaysia Madani.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.18 bilion untuk pembangunan di Kedah melibatkan 430 pelbagai projek untuk tahun ini.

Saifuddin berkata, Kerajaan Persekutuan sama sekali tidak menganaktirikan Kedah walaupun berbeza kerajaan memerintah.

"Jika cakap soal pembangunan, bajet negeri Kedah memperuntukkan RM100 juta untuk pembangunan (manakala) kerajaan Pusat mendatangkan RM1.18 bilion.

"Biarpun berlaku (atau) ada wujud perbezaan dari segi kerajaan yang memerintah tapi saya tak fikir rasional yang ada kepimpinan kerajaan Persekutuan (bahawa) kami hendak korbankan aspek kepentingan rakyat. Biar data berbicara," katanya.

Beliau menegaskan, kesimpulannya, Kedah sama sekali tidak ketepikan,dibelakangkan atau dianaktirikan Kerajaan Persekutuan walaupun berbeza dari amalan demokrasi.