Kedah terima pelaburan RM14.6 bilion bagi separuh pertama 2023 - Sanusi

Sanusi bercakap pada sidang media mengenai prestasi pelaburan di Kedah di Wisma Darul Aman pada Khamis. - Foto Bernama
Sanusi bercakap pada sidang media mengenai prestasi pelaburan di Kedah di Wisma Darul Aman pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN negeri Kedah menerima pelaburan diluluskan berjumlah RM14.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2023, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, angka itu satu pencapaian membanggakan yang dipacu dengan kelengkapan fasiliti yang disediakan di negeri itu terutamanya di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) selain kepantasan membuat kelulusan.

"Ini satu pencapaian yang membanggakan dalam tempoh enam bulan dan mungkin kita akan mencatat lebih daripada itu dalam tempoh enam bulan lagi. Sasaran Kedah dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu setiap tahun kita akan mencapai puratanya RM10 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kulim Technology Park Corporation di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.