Impian Umar berkelana ke AS tertangguh

Pemegang rekod 400 meter (m) kebangsaan, Umar Osman. Foto Agensi
Pemegang rekod 400 meter (m) kebangsaan, Umar Osman. Foto Agensi
A
A
A

IMPIAN pemegang rekod 400 meter (m) kebangsaan, Umar Osman untuk 'terbang' ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyambung pelajaran di Universiti Auburn tidak kesampaian susulan kelewatan mendapatkan kelulusan daripada Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) negara Uncle Sam itu.

Justeru hasrat pelari berusia 20 tahun itu untuk mengikut jejak langkah jaguh pecut, Muhammad Azeem Fahmi terpaksa ditangguhkan sehingga Ogos depan.

Umar berkata, khabar duka itu dimaklumkan oleh jurulatih Muhammad Azeem, Ken Harnden kerana pendaftaran dengan NCAA perlu dibuat terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada syarat melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

“Dapat tahu daripada jurulatih Azeem (Fahmi) Ken Harnden bahawa saya terpaksa datang ke AS Ogos ini sebab untuk bulan Januari ini tak sempat buat pendaftaran kerana NCAA lambat menghantar permohonan saya.

“Kalau di AS apabila lambat dua hari pun kita tak akan dibenarkan masuk dan terpaksa tunggu bulan Ogos untuk pengambilan kedua,” katanya ketika ditemui media pada majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Umar bagaimanapun menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana menganggap ada hikmah di sebaliknya.

“Pada mulanya berasa sedikit kecewa sebab saya sasarkan nak pergi Januari ini, tapi tak ada rezeki. Mungkin ada hikmah saya pergi bulan Ogos.

“Kalau Ogos saya boleh pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan dapat membuktikan kepada Auburn saya memang layak ke sana,” katanya yang akan mengambil jurusan reka bentuk industri di universiti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Atlet dari Johor itu juga tidak berasa bimbang lagi mengenai kedudukan ke Universiti Auburn kerana namanya sudah berada dalam senarai pelajar institut pengajian tersebut.

Umar antara atlet negara paling menyerlah tahun lalu apabila namanya meniti di bibir peminat olahraga apabila meraih emas setelah memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu dengan catatan 46.34 saat (s).

Dia kemudian cemerlang pada Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China apabila dua kali memecah rekod kebangsaan (46.33s dan 46.09s).