Presiden Amerika Syarikat lawat Israel esok

Joe Biden
Joe Biden
A
A
A

JERUSALEM - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan melawat Israel pada hari Rabu, menurut kenyataan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pada awal pagi ini di Israel.

Blinken mengumumkan lawatan ini selepas lebih tujuh jam pertemuan beliau dengan kabinet perang Israel.

Lawatan Setiausaha Negara ke Israel adalah sebahagian daripada lawatan singkat beliau ke tujuh negara di Timur Tengah, ketika Israel nampaknya bersedia untuk meneruskan perancangan pencerobohan darat ke Gaza dan konflik tersebut berpotensi meluas ke bahagian lain wilayah tersebut.

"Dalam lawatan ke Israel, Biden akan mendengar daripada Israel bagaimana mereka akan menjalankan operasi dengan cara mengurangkan kematian orang awam dan membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk Gaza tanpa memberi manfaat kepada Hamas," kata Blinken.

"Biden juga 'akan mengukuhkan lagi solidariti Amerika Syarikat dengan Israel dan komitmen kukuh kami terhadap keselamatan negara itu' dalam lawatan beliau pada hari Rabu ini, tambah Blinken.

"Presiden Biden akan sekali lagi menjelaskan, seperti yang telah beliau nyatakan sejak pembunuhan oleh Hamas lebih daripada 1,400 orang termasuk sekurang-kurangnya 30 warga Amerika, bahawa Israel mempunyai hak dan kewajipan untuk mempertahankan rakyatnya daripada (diserang) Hamas dan pengganas lain serta mencegah serangan masa depan," kata Blinken.

"Biden juga tidak ketinggakan akan mendengar apa yang diperlukan oleh Israel untuk mempertahankan rakyatnya 'sementara kami terus bekerja dengan Kongres untuk memenuhi keperluan tersebut'," katanya.

Dalam masa sama, Biden 'akan menekankan mesej yang jelas kepada mana-mana pihak, sama ada negara atau bukan, yang cuba memanfaatkan krisis ini untuk menyerang Israel: Jangan'," kata Blinken, sambil menunjukkan langkah-langkah pencegahan yang telah diambil oleh AS.

Artikel Berkaitan:

"Presiden Biden juga akan terus berkoordinasi rapat dengan rakan Israel kami untuk memastikan pembebasan tawanan yang diambil oleh Hamas, termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak kecil, orang yang selamat daripada Holocaust dan warganegara Amerika," kata Blinken lagi.

"Presiden Biden akan menerima taklimat menyeluruh mengenai matlamat perang dan strategi Israel," kata diplomat tertinggi AS itu.

Selain melawat Israel esok, Presiden AS juga akan melawat Jordan.

Di sana, beliau akan bertemu dengan sekumpulan pemimpin Timur Tengah yang penting termasuk Raja Abdullah II Jordan; Presiden Abdel Fattah el-Sisi Mesir dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, kata White House.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby memberitahu wartawan, tumpuan lawatan Biden ke Jordan adalah bantuan kemanusiaan pada krisis yang semakin getir.

Kirby berkata, Biden juga pasti akan mengulangi pendirian bahawa Hamas tidak mewakili hak rakyat Palestin untuk martabat dan penentuan nasib sendiri. Dan beliau akan membincangkan keperluan kemanusiaan semua penduduk Gaza sekali lagi.

"Di Amman, Biden 'akan menegaskan bahawa kami ingin terus bekerja dengan semua rakan kami di rantau ini, termasuk Israel, untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan dan sekali lagi untuk menyediakan laluan selamat bagi penduduk awam untuk keluar,".

"Keseluruhan lawatan akan berlangsung dalam masa sehari," kata Kirby lagi. - Agensi