Polis tingkat kawalan keselamatan Kedutaan Amerika Syarikat

Allaudeen
Allaudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kawalan keselamatan di Kedutaan Amerika Syarikat dipertingkatkan susulan beberapa siri perhimpunan yang diadakan di kedutaan terbabit sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed berkata, perkara tersebut menjadi kewajipan pihaknya untuk memastikan suasana aman dan selamat serta tidak melibatkan isu keselamatan.

"Kita dapati beberapa siri perhimpunan dijalankan di kedutaan terbabit dan kita ambil maklum akan perkara ini.

"Kawalan keselamatan sememangnya sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa dan menjadi tanggungjawab polis bagi menjaga keselamatan pejabat perwakilan asing di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Sementara itu, mengulas berkaitan beberapa siri himpunan diadakan berkaitan isu melibatkan Palestin, beliau mengingatkan agar himpunan terbabit dijalankan dalam suasana yang mematuhi aspek peraturan ditetapkan.

"Mereka yang terlibat dalam perhimpunan diminta patuh dengan undang-undang.

"Saya percaya semua perhimpunan ini dijalankan secara aman dan mengikut peraturan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, himpunan solidariti demi Gaza dan Palestin anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan di Jalan Tun Razak, dekat sini.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas ahli politik, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua serta aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Himpunan terbabit difahamkan bermula di sekitar bangunan Tabung Haji dan berarak ke kedutaan Amerika Syarikat namun ditahan pihak polis sebelum peserta tiba di hadapan kedutaan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!