Henti pendakwaan bukan kuasa mahkamah - Ketua Hakim Negara

Ketua Hakim Negara,Tun Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.Foto Bernama
Ketua Hakim Negara,Tun Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap individu yang menghadapi pertuduhan bukan kuasa mahkamah.

Sebaliknya kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ia merupakan kuasa pendakwa raya.

"Apabila pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan, mahkamah hanya mempunyai dua pilihan.

"Ia sama ada membenarkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan (DAA) atau dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA)," katanya ketika berucap di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara yang juga pendakwa raya mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi kesalahan selain di hadapan Mahkamah Syariah.

"Apabila pendakwa raya memutuskan untuk menarik balik pertuduhan, pihak mahkamah hanya mempunyai satu daripada dua pilihan berbangkit yang sangat terhad," katanya.

Tambah Tengku Maimun, mahkamah tidak boleh berpaling (daripada dua pilihan tersebut) dan meminta pendakwa raya untuk mengekalkan pertuduhan.

"Apabila pertuduhan ditarik balik, hakim yang membuat satu-satunya perintah berbangkit akan disifatkan sebagai rasuah, kadang kala sebagai tidak cekap atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, orang awam gagal memahami bahawa tanggungjawab untuk melakukan keputusan tersebut adalah pendakwa raya.

"Selalunya mahkamah yang dihukum sehingga menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman," katanya.