'Tun M, tak salah kalau kami bukan Melayu, tuhan tentukan'

Chia Zhen (kiri), Dr Mahathir
Chia Zhen (kiri), Dr Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang negarawan yang paling kontroversi susulan kenyataannya mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

Ketuanya, Wong Chia Zhen berkata, rakyat Malaysia khususnya bukan Melayu akur di bawah pemerintahan dan pimpinannya sebelum ini, selain masih sayang dan menghormati beliau sebagai Perdana Menteri yang berkhidmat paling lama.

Sebagai buktinya, Chia Zhen berkata, tiada usaha menjatuhkan beliau dibuat daripada golongan bukan Melayu.

“Yang ada hanya daripada orang Melayu sendiri dalam UMNO yang menyebabkan perpecahan Semangat 46.

“Tun perlu sedar dan terima negara ini milik semua.

"Tidak salah kalau kami bukan kaum Melayu kerana itu bukanlah pilihan kami, itu tuhan yang tentukan Tun,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Artikel Berkaitan:

Sebagai Pengerusi Gerakan Kedah, Chia Zhen berasa terpanggil untuk bersuara bagi menekankan betapa pentingnya agenda mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.

“Saya percaya majoriti rakyat Malaysia setia kepada raja dan negara, tidak ada yang betul-betul nak mengkhianati bangsa dan negara,” kata Chia Zhen

Chia Zhen yang juga Exco Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah berkata, bekas Perdana Menteri itu sekali lagi menggores hati orang bukan Melayu melalui kenyataan terbaharu itu.

Menurutnya, Dr Mahathir perlu sedar dan terima bahawa Malaysia adalah sebuah negara terdiri daripada masyarakat majmuk.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim itu, malangnya konsep perpaduan selalu diadudombakan dan identiti kebangsaan sering ditafsirkan dengan sempit.