Fenomena air pasang besar: Keadaan terkawal di Klang

Pemantauan Pasukan Pantas MPK melibatkan beberapa kawasan di Klang Selatan dan Klang Utara
Pemantauan Pasukan Pantas MPK melibatkan beberapa kawasan di Klang Selatan dan Klang Utara
A
A
A

KLANG - Fenomena air pasang besar di sekitar Klang yang memasuki hari kelima masih dalam keadaan terkawal setakat pagi Isnin.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan ia termasuk di beberapa kawasan titik panas di Klang Selatan dan Klang Utara pada Ahad malam.

"Hasil pemantauan pasukan mendapati tiada berlaku limpahan, tiada kawasan dinaiki air dan tiada banjir kilat serta cuaca juga baik tiada hujan," menurut pihak berkuasa tempatan itu ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Ahad tinjauan dan pemantauan Pasukan Pantas MPK melibatkan kawasan Pengkalan Nelayan Tok Muda, Jeti Nelayan Sungai Sementa, Jeti Nelayan Othman Baru Rantau Panjan, Bandar Sultan Sulaiman dan Bagan Hailam, Tanjung Harapan bagi kawasan Klang Utara.

Ia turut melibatkan Jeti Penumpang Pelabohan Selatan, Jalan Shahbandar,Taman Kem, Pelabohan Klang, Jalan Banting Pandamaran, Taman Selat Damai, Taman Telok Gedung Indah, Jalan Telok Gong dan Jeti Nelayan Telok Gong bagi kawasan Klang Selatan.

Tinjauan dan pemantauan bermula pada jam 8 malam itu berakhir pada jam 11 malam dan diteruskan pada Isnin.

Terdahulu, orang ramai terutama penduduk Klang dinasihat sentiasa berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada Ahad dan Isnin.

Pejabat Daerah dan Tanah Klang memaklumkan, bacaan paras air laut di daerah itu pada dua hari tersebut dijangka berada pada paras 5.1 meter yang mungkin membawa risiko banjir.

Artikel Berkaitan:


Banjir di Kluang pulih sepenuhnya

Anggota penyelamat mengemas khemah mangsa banjir selepas PPS Dewan Serbaguna Kahang ditutup sepenuhnya pada Isnin.
Anggota penyelamat mengemas khemah mangsa banjir selepas PPS Dewan Serbaguna Kahang ditutup sepenuhnya pada Isnin.

Sementara itu di JOHOR, banjir di daerah Kluang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir beroperasi di daerah itu ditutup jam 11 pagi Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, PPS di Dewan Serbaguna Kahang itu ditutup selepas 38 mangsa banjir daripada 11 keluarga dari Kampung Contoh dibenarkan pulang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, hanya tiga daerah lagi di negeri ini yang masih terjejas akibat banjir.

"Selepas daerah Kluang pulih daripada banjir, jumlah mangsa banjir yang direkodkan di tiga daerah iaitu Segamat, Kota Tinggi dan Segamat seramai 210 orang daripada 49 keluarga setakat jam 12 tengah hari pada Isnin.

"Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi seramai 124 orang, Batu Pahat (23 mangsa) dan Segamat seramai 63 orang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, terdapat tiga laluan masih terjejas akibat banjir dan masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Laluan tersebut ialah jalan Tanah Abang di Mersing serta dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang.