Pulau Betong pula dilanda air pasang merah

Fenomena air pasang merah dikesan melanda Pulau Betong selepas Teluk Bahang dan Balik Pulau pada akhir Ogos lalu.
Fenomena air pasang merah dikesan melanda Pulau Betong selepas Teluk Bahang dan Balik Pulau pada akhir Ogos lalu.
A
A
A

BALIK PULAU - Selepas Teluk Bahang dan Balik Pulau, fenomena air pasang merah (red tide bloom) kini melanda Pulau Betong apabila jalur merah jambu muncul di kawasan laut di kawasan tersebut.

Fenomena tersebut dikesan oleh penternak ikan sangkar di perairan Pulau Betong pada pagi Jumaat.

Kejadian berkenaan telah menyebabkan kehidupan laut terutamanya ikan mati.

Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Aileen Tan berkata, variasi dalam faktor persekitaran seperti suhu atmosfera yang dikaitkan dengan hujan yang tinggi mengakibatkan perubahan suhu permukaan laut dan ketersediaan nutrien terlarut menyebabkan pembiakan plankton yang dikenali Dinoflagellate dan Noctiluca Scintillans.

"CEMACS telah dimaklumkan fenomena ini melanda Pulau Betong oleh penternak ikan di kawasan berkenaan. Ketika ini, air laut dalam keadaan pasang dan kemungkinan besar alga ini dari minggu lepas hanyut dibawa arus di kawasan perairan Barat Daya.

"Setakat ini di perairan Teluk Bahang, alga ini tidak lagi dikesan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Bulan lalu, jalur merah jambu dikesan di kawasan laut Teluk Bahang dan Balik Pulau sehingga menjadi tanda tanya kepada ramai pihak termasuk pengunjung pantai.

Kejadian yang sama telah berlaku pada April lalu iaitu semasa musim panas (dengan beberapa hujan yang membawa nutrien dari darat ke lautan).

Artikel Berkaitan:

Keadaan laut yang semakin panas akan menyebabkan kekerapan alga Noctiluca Scintillans untuk mekar.

Noctiluca Scintillans ialah spesies marin Dinoflagellate yang boleh wujud dalam bentuk hijau atau merah, bergantung kepada pigmentasi dalam vakuolnya.

Dinoflagellate boleh mendatangkan bahaya kepada alam sekitar antaranya kematian ikan akibat penyumbatan insang atau pengurangan paras oksigen di dalam air.

Kata Aileen, dengan laut yang semakin panas, semakin masam dan kekurangan, semua ini akan meningkatkan air pasang merah.

"Apa yang membimbangkan, tiada kesan toksik diketahui tetapi ada kemungkinan kandungan ammonia yang tinggi dalam vakuol telah merengsa ikan menyebabkan ikan mengelak untuk mendekati kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, punca kematian ikan sedang dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berkata, setakat ini dia tidak turun ke laut kerana air laut 'mati' dan belum menerima maklumat mengenai kejadian air pasang merah itu di perairan Pulau Betong.