Perairan Pulau Pinang bebas air pasang merah

Fenomena air pasang merah dikesan berlaku di Teluk Bahang, Balik Pulau dan Pulau Betong pada bulan lalu. Gambar kecil: Zarina
Fenomena air pasang merah dikesan berlaku di Teluk Bahang, Balik Pulau dan Pulau Betong pada bulan lalu. Gambar kecil: Zarina
A
A
A

BAYAN LEPAS - Perairan Pulau Pinang kini disahkan bebas daripada fenomena air pasang merah (red tide bloom) selepas sampel air yang diambil menunjukkan tiada kehadiran plankton yang dikenali dinoflagellate dan noctiluca scintillans.

Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin berkata, sebanyak enam sampel air laut telah diambil sejak fenomena tersebut dilaporkan mula berlaku di Teluk Bahang.

"Seperti sedia maklum, sejak akhir bulan lalu berlaku fenomena air pasang merah di Teluk Bahang dan Balik Pulau. Selepas itu, ia dikesan di Pulau Betong pula.

"Sebanyak enam sampel air laut telah diambil untuk dijalankan analisis oleh Jabatan Perikanan negeri bersama Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung. Didapati, kandungan sel plankton dinoflagellate dan noctiluca scintillans dalam sampel air yang diambil menunjukkan trend menurun.

"Analisis yang dijalankan pada Jumaat lalu dan semalam (Khamis) pula menunjukkan negatif sel dinoflagellate dan noctiluca scintillans. Ini bermakna, kandungan air laut di kawasan terbabit bebas daripada plankton berkenaan dan dalam keadaan selamat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Katanya, kejadian air pasang merah yang berlaku di Pulau Betong tidak serius seperti yang berlaku di Teluk Bahang dan Balik Pulau.

"Kita telah berjumpa dengan nelayan di Pulau Betong dan mereka mengatakan bahawa fenomena itu seperti lalu sahaja.

"Ia tidak berada di situ dalam tempoh yang lama seperti mana di Teluk Bahang dan Balik Pulau, malah tiada kehidupan laut dilaporkan mati di situ.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian ini tidak boleh dijangka kerana ia kejadian semulajadi. Saya mohon kepada sesiapa yang ternampak fenomena ini berlaku supaya segera laporkan kepada kami untuk tindakan lanjut," katanya.

Bulan lalu, jalur merah jambu dikesan di kawasan laut Teluk Bahang, Balik Pulau dan Pulau Betong sehingga menjadi tanda tanya kepada ramai pihak termasuk pengunjung pantai.

Kejadian yang sama telah berlaku pada April lalu iaitu semasa musim panas (dengan beberapa hujan yang membawa nutrien dari darat ke lautan).

Keadaan laut yang semakin panas akan menyebabkan kekerapan alga noctiluca scintillans untuk mekar.

Noctiluca dcintillans ialah spesies marin dinoflagellate yang boleh wujud dalam bentuk hijau atau merah, bergantung kepada pigmentasi dalam vakuolnya.

Dinoflagellate boleh mendatangkan bahaya kepada alam sekitar antaranya kematian ikan akibat penyumbatan insang atau pengurangan paras oksigen di dalam air.