PRK: Jumlah keluar undi masih bawah 40 peratus setakat 1 tengah hari

Pengundi beratur bagi menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan Simpang Jeram pada Sabtu. - Foto Bernama
Pengundi beratur bagi menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan Simpang Jeram pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, masing-masing 29 dan 39 peratus setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 47 pusat pengundian dengan 294 saluran di Parlimen Pulai dan 14 pusat pengundian melibatkan 68 saluran di DUN Simpang Jeram, dibuka daripada jam 8 pagi sehingga jam 6 petang.

Untuk pengundian hari ini, sebanyak 205,810 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat mereka bagi kedua-dua kerusi tersebut.

Berdasarkan tinjauan Bernama di Pulai pagi tadi, proses pengundian berjalan lancar meskipun cuaca yang pada mulanya cerah dan mendung di beberapa kawasan pengundian, bertukar hujan lebat sehingga kira-kira jam 12 tengah hari.

Di Simpang Jeram pula, cuaca kekal mendung daripada pagi sehingga tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika tinjauan ke pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah, memaklumkan bilangan pengundi yang menunaikan tanggungjawab di Parlimen Pulai agak rendah berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: