Sarjan tidak mengaku terima rasuah RM20,000

Usha Nantiny (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM20,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.
Usha Nantiny (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM20,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menerima rasuah RM20,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang terlibat kes pecah amanah dua tahun lalu.

S Usha Nantiny, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta suapan RM20,000 daripada seorang lelaki bagi melepaskan isterinya yang terlibat dalam kes pecah amanah sebagai dorongan untuk tidak menahan wanita berkenaan.

Ini bagi mengelak siasatan dijalankan bagi kesalahan dilakukannya di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sedang disiasat pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Segamat pada jam 4.50 petang, 28 Ogos 2022.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Ibu kepada dua anak itu boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam, S Selvantheran.

Pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya diberikan jaminan tinggi berjumlah RM15,000 kerana itu merupakan satu kesalahan yang berat berserta beberapa syarat tambahan.

Sementara itu, Selvantheran memberitahu, tertuduh yang hadir ke mahkamah pada Isnin bersama suaminya hanya mampu membayar jaminan sebanyak RM8,000.

"Jaminan yang ditawarkan adalah di luar kemampuan tertuduh, malah wanita itu masih berkhidmat di IPD Segamat serta mempunyai tanggungan dua anak berusia lima dan enam tahun serta ibu bapa mertua," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri ke Pejabat SPRM Segamat setiap bulan.

Kes akan disebut semula 24 Mac depan untuk serahan dokumen.