SPRM tahan 9 anggota penguat kuasa disyaki minta, terima rasuah

Lima anggota penguat kuasa yang terlibat akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Star pada Selasa manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil - Gambar hiasan
Lima anggota penguat kuasa yang terlibat akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Star pada Selasa manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai sembilan anggota penguat kuasa sebuah agensi di Kedah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot nelayan dan 'runner' antara tahun 2018 hingga 2021.

Menurut sumber SPRM, anggota penguat kuasa berkenaan disyaki menerima rasuah terbabit sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Katanya, turut ditahan dua orang awam yang dipercayai memberi rasuah kira-kira RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa terbabit yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.

"Kesemua 11 suspek berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar.

"Kesemua anggota penguat kuasa terbabit dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2018 hingga 2021 dan mereka ditahan kerana menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, seramai lima anggota penguat kuasa yang terlibat akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Star pada Selasa manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil. - Bernama