Keluarga Altantuya mohon kebenaran rayu ke Mahkamah Persekutuan

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 dan mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam.
Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 dan mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga model warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu yang dibunuh, memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan dalam saman sivil mereka.

Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya, berkata beberapa persoalan undang-undang daripada prosiding sivil itu akan dibangkitkan, termasuk skop liabiliti vikarius kerajaan apabila tindakan ejen negara mengakibatkan pelucutan nyawa secara tidak sah serta kerangka perundangan ganti rugi dalam tuntutan sivil akibat pembunuhan tidak sah.

"Berdasarkan kepentingan awam yang timbul daripada isu-isu ini, adalah wajar ia dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan yang berpeluang memperjelaskan kedudukan undang-undang dalam bidang penting ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut peguam itu, kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Norazmin Kassim, pada 19 Mac ini.

Pada 20 Januari lepas, Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi yang diberikan kepada keluarga warga Mongolia itu daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta dalam saman sivil berhubung kematian Altantuya pada 2006.

Jumlah keseluruhan RM1.4 juta itu hendaklah ditanggung secara bersama oleh penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, serta dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Mahkamah Rayuan memutuskan Kerajaan Malaysia dilepaskan sepenuhnya daripada liabiliti dan menolak tuntutan terhadap kerajaan. Mahkamah turut memutuskan kerajaan tidak bertanggungjawab secara liabiliti vikarius terhadap kematian Altantuya kerana perbuatan dua bekas anggota polis berkenaan dilakukan di luar skop tugas rasmi mereka.

Mahkamah sama mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Abdul Razak atas konspirasi dan persubahatan dalam kematian Altantuya.

Ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta cucu mereka, Mungunshagai Bayarjargal, selaku plaintif, memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007.

Artikel Berkaitan:

Keluarga berkenaan mendakwa kematian model itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, sekali gus melayakkan mereka menerima pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman difailkan keluarga Altantuya dan mengarahkan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan membayar ganti rugi RM5 juta secara bersama.

Kerajaan dan Abdul Razak kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!