Pandu laju, langgar lampu isyarat punca warga emas dipukul

Tular video memaparkan seorang warga emas dipukul setelah didakwa memandu melulu sehingga merempuh sebuah van sekolah dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2 dekat sini, Khamis lalu.
Tular video memaparkan seorang warga emas dipukul setelah didakwa memandu melulu sehingga merempuh sebuah van sekolah dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2 dekat sini, Khamis lalu.
A
A
A

KAJANG - Memandu dengan laju serta melanggar lampu isyarat sebelum merempuh sebuah van sekolah dipercayai menjadi punca seorang warga emas dipukul beberapa individu di Taman Pelangi Semenyih 2 di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, seorang lelaki tempatan berumur 63 tahun telah melanggar sebuah van sekolah yang dinaiki sekumpulan pelajar.

"Lelaki berkenaan kemudian memberhentikan kenderaan dipandunya sebelum didatangi beberapa individu yang bertindak memukul mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian perut, dahi dan badan.

"Siasatan mendapati dia dipukul dipercayai memandu kenderaan secara laju dan melanggar lampu isyarat merah sehingga merempuh van sekolah berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Keadaan lelaki berkenaan yang cedera akibat dipukul.
Keadaan lelaki berkenaan yang cedera akibat dipukul.

Katanya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan dua individu di sekitar kawasan Kajang.

"Tangkapan dijalankan Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang melibatkan dua lelaki tempatan berumur 26 dan 43 tahun yang terlibat dalam kes ini.

"Siasatan dijalankan mendapati dua individu yang diberkas mengaku memukul warga emas berkenaan disebabkan tidak berpuas hati tindakannya yang memandu dengan melulu sehingga mengakibatkan kemalangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki dipukul beberapa individu dalam satu kemalangan di sini.