Wanita warga emas cedera diserang buaya

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KUDAT - Seorang wanita warga emas cedera selepas diserang buaya di sebuah sungai berhampiran rumahnya di Kampung Damaran, Pulau Banggi, di sini pada Isnin.

Mangsa berusia 79 tahun itu difahamkan mengalami kecederaan di tangan dan kaki, namun sempat menyelamatkan diri daripada menjadi 'makanan' haiwan pemangsa tersebut.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.53 petang.

"Pengadu memaklumkan ibu saudaranya telah diserang buaya di kawasan sungai berhampiran rumahnya di kampung berkenaan.

"Akibat kejadian ini, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Katanya lagi, keadaan mangsa ketika ini stabil selepas menerima rawatan di hospital tersebut.

"Laporan polis juga dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular di media sosial Facebook menghebahkan kejadian itu yang berlaku di Pulau Banggi dan meminta orang ramai berhati-hati daripada menjadi serangan haiwan tersebut.