NGO Malaysia, masjid kumpul bantuan untuk mangsa banjir Thailand

Konvoi misi bantuan mula berlepas di pekarangan Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Jumaat.
Konvoi misi bantuan mula berlepas di pekarangan Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisitif mengumpulkan bantuan bernilai RM50,000 termasuklah wang tunai dan barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir di selatan Thailand.

Pengerusi Pertubuhan Rumah Amal Bakti, Rosiah Ramli berkata, usaha bersama dengan Masjid Sultanah Bahiyah berkenaan dilakukan kerana prihatin dengan musibah banjir menimpa mangsa terlibat.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa selama dua minggu untuk mengumpulkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas itu.

"Alhamdulillah, kita pun tidak menjangka memperolehi kutipan bantuan wang tunai dan barangan bernilai RM50,000 hasil usaha kerja berpasukan bertungkus lumus siang malam bagi menjayakan misi itu.

"Kita harap dapat membantu mereka terlibat, sekali gus akan meneruskan aktiviti mengumpulkan bantuan ke Pantai Timur seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir di pekarangan Masjid Sultanah Bahiyah di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghantar sumbangan di pusat pengumpulan di masjid berkenan.

Sebahagian sukarelawan NGO dan masjid terlibat dalam menjayakan misi bantuan mangsa banjir.
Sebahagian sukarelawan NGO dan masjid terlibat dalam menjayakan misi bantuan mangsa banjir.

Sementara itu, sukarelawan,Suwandi Yusoff, 44, dari Suwandi Berkat Resource berkata, konvoi misi bantuan untuk mangsa banjir itu akan bergerak ke selatan Thailand melalui sempadan Durian Burung.

Artikel Berkaitan:

Katanya, misi bantuan ke selatan Thailand adalah misi bantuan antarabangsa pertama gabungan pelbagai NGO itu selepas pelbagai misi bantuan dalam negara sebelum ini.

"Antara barangan dibawa termasuklah makanan,selimut, telekung dan pakaian,sekaligus diharapkan meringankan bebanan mereka,"katanya.

Suwandi berkata, barangan bantuan terbabit disumbangkan pelbagai pihak termasuklah kariah Masjid Sultanah Bahiyah, rakan kontraktor dan NGO lain.

Menurut Suwandi, beberapa usahawan turut menyumbang dalam pelbagai bentuk termasuklah Ezy One Ventures Resources, Mat Rock Ayam Goreng Kunyit,Safwan Motor, Uncle Bob Ayam Gunting dan rakan-rakan lain dari Kuala Lumpur.

Beliau memaklumkan, pihak mereka seterusnya akan meneruskan misi bantuan mangsa banjir ke Pantai Timur demi membantu penduduk terjejas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!