Kumpul 10,000 al-Quran buat mangsa bah merah selatan Thailand

Misi menghantar bantuan al-Quran kepada mangsa banjir di negara jiran. - Foto: ISKK
Misi menghantar bantuan al-Quran kepada mangsa banjir di negara jiran. - Foto: ISKK
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan komuniti dari Kelantan, Info Semasa Kubang Kerian (ISKK) mengambil inisiatif mengumpulkan 10,000 naskhah al-Quran untuk diberikan kepada mangsa bah merah di selatan Thailand Khamis lalu.

Pengerusi ISKK, Mohamad Afandi Mohamad berkata, al-Quran tersebut diberikan kepada pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pondok dan juga penduduk setempat di daerah Yala, Narathiwat serta sekitarnya.

Menurutnya, keperluan naskhah-naskhah al-Quran oleh umat Islam di kawasan itu diketahui selepas menghantar bantuan makanan, baju, bantal dan tilam pada siri pertama agihan sebelumnya.

Mohamad Afandi (kiri) menyerahkan al-Quran kepada pihak di selatan Thailand.
Mohamad Afandi (kiri) menyerahkan al-Quran kepada pihak di selatan Thailand.

“Semasa kunjungan pertama itu, mereka yang berada di Narathiwat dan Yala memberitahu mereka memerlukan kelengkapan sekolah pondok termasuk al-Quran kerana semuanya musnah dalam bah terbabit.

“Oleh sebab itu, untuk siri kedua ini kami fokus dan tidak menyangka berjaya mengumpulkan 10,000 serta sudah selamat disampaikan kepada penerima pada Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad Afandi berkata, pengumpulan sumbangan al-Quran itu dilakukan selama seminggu melalui pengumuman yang dibuat di masjid-masjid di kawasan Kota Bharu termasuk Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa.

Mohamad Afandi (kanan) menjalankan kerja-kerja menyusun al-Quran untuk dibawa Thailand.
Mohamad Afandi (kanan) menjalankan kerja-kerja menyusun al-Quran untuk dibawa Thailand.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang menderma secara perseorangan dan ada melalui masjid-masjid seperti Masjid Gong Dermin, Bukit Marak, Pantai Cahaya Bulan, Kijang, Chekok, Kubang Kedian dan Kedai Lalat.

“Dari segi pengangkutan, kami mendapat sumbangan individu persendirian yang menyediakan dua treler selain kerjasama pihak berkuasa polis, imigresen dan kastam di kedua-dua negara bagi memudahkan urusan bantuan melalui sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keadaan banjir melanda negara itu menyebabkan banyak kemusnahan dan rumah penduduk hanyut selain sekolah-sekolah pondok roboh.

Rombongan dari Kelantan bergambar di lokasi yang terjejas banjir di Thailand.
Rombongan dari Kelantan bergambar di lokasi yang terjejas banjir di Thailand.

“Penduduk memberitahu banjir mendadak menenggelamkan rumah mereka dan apabila suruh, ada yang rosak bahkan roboh sepenuhnya.

“Terdapat sekolah-sekolah pondoh yang memerlukan pembinaan semula selepas strukturnya musnah dihanyutkan arus banjir,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, bah merah yang membadai pada hujung Disember lalu meragut nyawa, merosakkan harta benda penduduk malah menjejaskan 31 masjid di tiga daerah iaitu Rueso, Si Sakhon dan Sukhirin.

Lebih terkesan apabila banjir berserta lumpur itu menyebabkan kitab suci al-Quran rosak dan tidak dapat lagi digunakan.