Tingkat imej Islam melalui pencapaian, kejayaan umat - Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
A
A
A

IPOH - Masyarakat dunia akan lebih menghormati Islam jika majoriti penganutnya memperlihatkan prestasi pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Islam didukung para penganutnya sama ada yang menerima atau memilih Islam sebagai agama.

Titah baginda, jurang besar yang dihadapi oleh masyarakat Islam ketika ini apabila jumlah penganut ramai dari segi angka berbanding mereka yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam.

Sultan Nazrin bertitah, imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi oleh tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam.

"Islam akan lebih dihormati dan akan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

"Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram, serta nama yang lompong tanpa pengisian yang bermakna. Ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisi Islam dengan kandungan yang meyakinkan.

"Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah. Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, baginda bertitah usaha memperkayakan generasi muda dengan ilmu perlu diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun serta berstrategik jika mahu keagungan Islam dijulang dan meningkatkan martabat bangsa.

Jelas baginda, ilmu merupakan teras untuk membangunkan masyarakat progresif dan tamadun yang agung kerana tahap penguasaan ilmu akan menentukan tahap pengertian, kefahaman serta penguasaan sesuatu bidang kehidupan.

"Ilmu ialah komponen yang akan membentuk nilai-nilai keperibadian seseorang insan, yang akan mengangkat taraf kehidupan masyarakat, dan yang akan menjulang kemuliaan sesuatu bangsa dan negara.

"Malah ilmu berperanan sebagai perisai paling kukuh untuk melindungi manusia daripada tergelincir akidah kerana terpengaruh dengan tafsiran ulama samaran atau terpesong fahaman kerana ungkapan kata-kata pemimpin palsu yang bertopengkan agama," titah baginda.

Sementara itu baginda bertitah, dalam usaha mewujudkan pendekatan strategik tersebut, MAIPk bersama institusi Orang Besar Jajahan, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Belia dan Sukan, Yayasan Perak, Majlis Belia Negeri Perak serta jawatankuasa masjid perlu digabungkan.

Jelas baginda, gabungan itu akan berupaya mewujudkan rangkaian kerja strategik bagi memperkenalkan serta melaksanakan program-program bersifat inovatif dan kreatif bersesuaian dengan cabaran serta keperluan semasa.

Pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan watikah pelantikan seramai 28 anggota MAIPk termasuk Yang Dipertua, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Baginda juga berkenan melantik anggota baharu mewakili jabatan atau organisasi iaitu Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan; Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh; Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan dan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Saleh.

Baginda turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan seramai lapan orang Hakim Mahkamah Syariah Perak iaitu seorang Hakim Mahkamah Rayuan Utama Syariah dan tujuh orang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Watikah pelantikan itu juga turut mengukir sejarah baharu di Perak dengan pelantikan seorang hakim wanita di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah iaitu Nor Hadina Ahmad Zabidi.