Waris anggota polis maut kemalangan terima faedah PERKESO

Mohamad Asri menyerahkan dokumen faedah berkenaan kepada ibu Allahyarham, Roszita Abdullah di rumahnya di kuarters Institusi Pendidikan Sentul Utama pada Khamis.
Mohamad Asri menyerahkan dokumen faedah berkenaan kepada ibu Allahyarham, Roszita Abdullah di rumahnya di kuarters Institusi Pendidikan Sentul Utama pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Waris kepada Allahyarham Muhammad Irman Hilmip, 27, yang maut dalam satu kemalangan pada 18 Disember lalu, menerima dua bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Khamis.

Pengarah PERKESO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngoman berkata, semakan yang dibuat oleh Perkeso mendapati waris Allahyarham layak menerima Faedah Pencen dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Beliau berkata, arwah yang masih bujang meninggalkan warisnya iaitu bapa, Hilmip Abdul Hamid, 46, dan ibu, Roszita Abdullah, 46.

"Kedua-dua faedah ini disediakan PERKESO di bawah Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.

"Caruman yang pernah dibuat (Allahyarham) sebelum ini telah melayakkan kedua-dua waris layak menerima bayaran Faedah Pencen Penakat berjumlah RM422.50 sebulan di mana ia akan dibayar sepanjang hayat.

"Mereka juga turut menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000," katanya selepas menyampaikan sumbangan dan faedah berkenaan di rumah waris Allahyarham di kuarters Institusi Pendidikan Sentul Utama di sini pada Khamis.

Tambah Mohamad Asri lagi, Pencen Penakat merupakan salah satu daripada faedah yang ditawarkan menerusi Skim Keilatan di bawah Akta 4.

"Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans (OB) meninggal dunia atas sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

"Antara syarat kelayakan faedah ini ialah OB yang meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman atau OB yang meninggal dunia semasa sedang menerima Pencen Ilat tanpa mengambil kira had umurnya," katanya.

Jelasnya lagi, meskipun sebagaimana yang umum ketahui, penjawat awam seperti anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada caruman di bawah PERKESO, namun pihaknya dapati caruman arwah di bawah majikan terdahulu masih melayakkan waris untuk menerima manfaat sama di bawah skim sedia ada.

"Saya serta seluruh warga PERKESO sekali lagi menzahirkan rasa simpati dan berharap bantuan faedah yang diterima oleh waris dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung oleh waris yang ditinggalkan oleh pencarum," katanya.

Sementara itu, bapa kepada Allahyarham, Hilmip Abdul Hamid menzahirkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan PERKESO.

"Kami amat menghargai pemberian ini, alhamdulillah syukur kepada ALLAH di atas keprihatinan ini," katanya.

Terdahulu, Muhammad Irman yang juga merupakan anggota polis maut akibat satu kemalangan jalan raya yang berlaku ketika sedang bertugas di Jalan Kampong Cina, Pantai Remis Manjung, Perak pada 18 Disember 2023 yang lalu.