Premis diarah tutup dua jam hanya libatkan kedai makan Muslim

Penutupan bermula jam 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang setiap Jumaat itu hanya melibatkan semua pasar raya dan kedai makan milik pengusaha beragama Islam. - Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Rosli
Penutupan bermula jam 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang setiap Jumaat itu hanya melibatkan semua pasar raya dan kedai makan milik pengusaha beragama Islam. - Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Rosli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Premis perniagaan dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang diarah tutup selama dua jam pada setiap Jumaat tidak melibatkan restoran bukan Muslim.

Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif menjelaskan penutupan bermula jam 12.30 tengahari sehingga 2.30 petang itu hanya melibatkan semua pasar raya dan kedai makan milik pengusaha beragama Islam.

Menurutnya, penutupan premis yang akan berkuat kuasa pada Jumaat itu juga melibatkan restoran makanan segera di daerah ini.

"Susulan penyebaran notis penutupan operasi perniagaan yang tular sebelum ini yang menimbulkan salah faham, kami ingin menjelaskan bahawa hanya penutupan melibatkan semua pasar raya dan kedai makanan atau gerai milik orang Islam sahaja.

"Kedai makan milik orang bukan Islam boleh beroperasi seperti biasa kecuali jika kedai itu mempunyai pekerja Islam.

"Kedai itu perlu ditutup dan membenarkan pekerja Islam pergi menunaikan solat Jumaat," katanya pada sidang akhbar di MBKT dekat sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, bagaimanapun kedai makan yang diuruskan pekerja wanita boleh beroperasi pada tempoh itu, namun perlu membuat permohonan khas kepada MBKT bagi mendapat kelulusan.

"Kena ada kelulusan khas dan kita akan buat pemantauan. Mereka kena buat aku janji dengan syarat-syarat lesen dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Kedai makan itu boleh beroperasi cuma kena ada kebenaran khas daripada MBKT," jelas beliau.

Dalam pada itu, Rosli berkata, musafir atau pengunjung luar yang ingin berkunjung ke Kuala Terengganu dinasihatkan merancang jadual perjalanan supaya tidak berdepan sebarang kesulitan.

"Kedai makan hanya tutup selama dua jam. Tidak sampai ke petang pun tutup kedai makan maka perlu rancang jadual," ujarnya.

Sementara itu, Rosli berkata, setakat ini pihaknya menerima beberapa aduan berhubung terdapat premis makanan yang beroperasi pada tempoh yang diarahkan penutupan berkenaan.

Beliau berkata, peniaga dan pemilik kedai makan yang tidak mematuhi peraturan tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembatalan lesen perniagaan.

Katanya, sebarang ketidakpatuhan kepada pengenaan syarat-syarat ini membolehkan premis perniagaan boleh dikompaun sehingga RM1,000 atau dibatalkan lesen perniagaan dengan merujuk kepada Undang-Undang Kecil berkaitan diguna oleh MBKT.