Pemilik bengkel mengaku tak bersalah kemuka tuntutan palsu kepada SUK Pahang

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemilik bengkel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM31,068 kepada pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang pada 2021.

Lee Kok Sing, 49, didakwa melakukan perbuatan itu melibatkan invois berjumlah RM11,154 dan RM19,914 berhubung penggantian beberapa alat ganti kenderaan jenis Nissan X-Trail, yang sebenarnya tidak dilakukan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat SUK Pahang, Wisma Sri Pahang di sini pada 11 Oktober dan 15 Disember 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda daripada nilai terlibat, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Peguam Elvin Tan memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.

"Dua anak tertuduh yang berusia 15 dan 19 tahun masih belajar dan tertuduh juga menjalankan perniagaan di sini. Anak guam saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan dan tidak pernah gagal hadir setiap kali dipanggil sejak dua tahun lepas," katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan pendakwaan supaya Lee melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan sebutan kes ditetapkan pada 27 Februari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: