Kontraktor palsu didakwa gagal patuhi award TTPM

Siti Nurainah (kiri) diiring pegawai KPDN di mahkamah
Siti Nurainah (kiri) diiring pegawai KPDN di mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Seorang kontraktor palsu wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada dua individu masing-masing berjumlah RM25,000 bagi tujuan membina rumah tahun lalu.

Siti Nurainah Baharin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Noorhafizah Ishak selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Orang Kena Saman (OKS) yang merupakan pengarah Syarikat Ena Ezam Enterprise didapati gagal selepas 14 hari dari tarikh award diserahkan untuk mematuhi award TTPM bertarikh 17 April 2023 yang dibuat di Pejabat Tribunal Tuntutan Pengguna Negeri Sembilan iaitu perlu membayar RM25,000 kepada seorang lelaki berusia 31 dan 34 tahun yang menuntut dalam tuntutan tersebut.

Kesalahan itu dilakukan pada 7 Jun 2023 di sebuah rumah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, Melaka.

Berikutan itu tertuduh didapati telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum dibawah seksyen dan akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan berterusan, boleh sebagai tambahan kepada penalti di bawah subseksyen (1), didenda tidak kurang daripada RM100 dan tidak melebihi RM5,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan.