Layanan ‘double standard’ bunuh industri filem seram tempatan

Ahmad Idham (kanan) ketika wawancara dalam sesi Zon Keras sempena Festival Seram Buku Prima pada Ahad.
Ahmad Idham (kanan) ketika wawancara dalam sesi Zon Keras sempena Festival Seram Buku Prima pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Mendepani layanan 'pilih kasih' adalah antara cabaran dalam menghasilkan filem tempatan genre seram menarik.

Pengarah Filem Seram, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, beberapa kekangan dikenakan pihak produksi filem seram tempatan sama ada tapisan dari segi kandungan dan sensitiviti sesuatu isu.

Ahmad Idham
Ahmad Idham

Menurutnya, hal itu boleh memberi impak kepada penonton dari segi psikologi di mana mereka lebih menggemar filem luar berbanding tempatan dan akhirnya membunuh industri perfileman negara.

“Kadang-kala kita agak kecewa apabila kita lihat filem luar lepas (tapisan) pula. Jadi penonton akan kata filem luar boleh buat, filem tempatan tidak ada pun?

“Yang mereka (orang ramai) nampak seolah-olah kita tidak pandai buat. Mereka tidak tahu kita tidak boleh buat.

“Jadi saya nampak kalau boleh perkara-perkara itu kita kena ada satu sidang bengkel forum kalau boleh dengan pihak berwajib seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Lembaga Penapisan Filem (LPF), kementerian sebab saya rasa perkara ini kita perlu nyatakan,” katanya ketika wawancara dalam sesi Zon Keras sempena Festival Seram Buku Prima pada Ahad.

Beliau yang menegaskan hal itu sebagai pandangan peribadi turut mengulas bahawa layanan ‘double standard’ itu turut diikuti dengan ketetapan limitasi tertentu oleh pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

“Maknanya filem tempatan, mereka kata kita hanya limitasi begini sahaja contohnya kita tidak boleh sentuh institusi raja, tidak boleh sentuh politik dan banyak lagi.

“Kita juga tidak boleh sentuh ‘gore’ (unsur keganasan), atau sesuatu yang lebih kepada pemujaan-pemujaan,” katanya.